17,476 kes baharu Covid-19 direkodkan

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

SHAH ALAM – Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 17,476 kes baharu Covid-19 pada Jumaat menjadikan jumlah kes kumulatif di negara ini adalah sebanyak 4,219,395.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah berkenaan melibatkan 17,312 kes tempatan dan 164 kes import.

“Bagi pecahan daripada jumlah tersebut, sebanyak 9,813 kes atau 56.15 peratus adalah daripada pesakit Covid-19 kategori satu, sementara 7,552 kes atau 43.22 peratus pesakit kategori dua.

“Untuk kategori tiga hingga lima, masing-masing mempunyai 37 kes atau 0.21 peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan jumlah keseluruhan 111 kes kategori tiga hingga lima ini, 22 kes dilaporkan tidak divaksinasi atau belum lengkap mendapatkan pelalian berkenaan.

“Sebanyak 45 kes pula telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak, manakala 44 kes telah menerima dos penggalak.

“Selain itu, 62 kes melibatkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas. 59 kes lagi mempunyai komorbid dan satu kes melibatkan ibu mengandung,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 263 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 125 kes disahkan Covid-19 manakala kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan pula adalah sebanyak 138.

Artikel Berkaitan:

“Bagi kes memerlukan bantuan pernafasan pula, sebanyak 162 kes dilaporkan dengan 72 kes disahkan Covid-19 dan 90 kes lagi disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

“Satu negeri mencatatkan pengisian melebihi 50 peratus bagi katil kes kritikal atau ICU iaitu Kuala Lumpur dengan 67 peratus,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham memaklumkan sebanyak 17,321 kes sembuh direkodkan sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh kepada 3,977,403.

Beliau berkata, enam kluster baharu direkodkan manakala jumlah kluster aktif di negara ini adalah 194.