[VIDEO] 'Muhyiddin temui saya untuk dapat sokongan jadi PM sekali lagi'

Muhyiddin (kiri) dan Dr Mahathir
Muhyiddin (kiri) dan Dr Mahathir
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menemuinya baru-baru ini bagi meminta sokongan untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi.

Bagaimanapun, Dr Mahathir dalam masa sama turut tertanya-tanya sebab Ahli Parlimen Pagoh itu bertindak sedemikian.

Malah katanya, Muhyiddin juga menyedari Pejuang bukan parti yang kuat dan kalah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan tidak mempunyai sumber kewangan yang kuat.

“Saya tidak tahu hendak kata apa. Sebab saya tidak jadi Perdana Menteri (pun) kerana Muhyiddin. Dia tikam belakang, jadi saya tidak dapat jadi Perdana Menteri.

“Sekarang ini dia (Muhyiddin) hendak mintak tolong orang yang dia tikam belakang tapi tidak mati lagi untuk dia minta tolong,” katanya pada sidang akhbar sebaik selesai mesyuarat bersama Yayasan Anti Rasuah Malaysia di Yayasan Albukhary di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan mengatakan bahawa Muhyiddin ada menemuinya baru-baru ini.

Dalam pada itu, ditanya mengenai apa faktor lain yang menyebabkan beliau sukar untuk bekerjasama dengan Muhyiddin, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, ia disebabkan beberapa perkara.

Ujarnya, semasa bergelar Perdana Menteri, kepimpinan Muhyiddin tidak disenangi ramai pihak.

Artikel Berkaitan:

“Dia (Muhyiddin) bukan Perdana Menteri yang baik sebab itu tidak ada sebab orang hendak pilih dia semula (jadi Perdanq Menteri. (Lainlah) kalau dia berikan satu pencapaian yang baik kepada Malaysia,” katanya.

Pada Khamis, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendedahkan Muhyiddin mengadakan pertemuan bersama Dr Mahathir.

Jelas Mukhriz, dalam pertemuan itu, Muhyiddin ada mengemukakan cadangan gabungan parti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Tambahnya, perjumpaan tersebut berlangsung sekitar dua minggu lalu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.