Sempadan negara dibuka, cabaran baharu buat ESSCom

Hamzah ketika berucap pada perhimpunan sempena Hari Ulang Tahun ESSCom kesembilan di Lahad Datu pada Jumaat.
Hamzah ketika berucap pada perhimpunan sempena Hari Ulang Tahun ESSCom kesembilan di Lahad Datu pada Jumaat.
A
A
A

LAHAD DATU - Pembukaan semula pintu sempadan dan peralihan negara ke fasa endemik bakal membawa cabaran baharu kepada pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).

Komander ESScom, Deputi Komisioner Hamzah Ahmad berkata, pembukaan pintu sempadan dikhuatiri akan menyebabkan peningkatan aktiviti jenayah rentas sempadan berbanding ketika sempadan ditutup berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) diperkenalkan.

"Aktiviti pelancongan di pantai timur dijangka akan kembali rancak dan menarik ramai kehadiran pelancong dari luar negara.

"Dikhuatiri aktiviti kumpulan culik untuk tebusan (KFR) akan kembali aktif dengan mengambil kesempatan terhadap kebanjiran pelancong serta pertambahan aktiviti di laut yang akan menyebabkan pasukan keselamatan sukar untuk memantau secara menyeluruh," katanya ketika berucap pada perhimpunan sempena Hari Ulang Tahun ESSCom kesembilan di sini pada Jumaat.

Tambah beliau lagi, menjelang pilihan raya umum di Filipina yang akan diadakan pada Mei depan dijangka akan menyebabkan berlakunya banyak pergerakan pergi dan balik melibatkan warga di negara itu di Sabah.

"Pergerakan ini perlu diberikan perhatian yang serius memandangkan terdapat kemungkinan adanya anasir-anasir berkepentingan akan turut sama keluar dan masuk ke negeri ini," katanya.

Hamzah bagaimanapun berkata, pihak ESSCom sentiasa bersiap sedia dan akan terus memperkasakan sempadan darat dan laut Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) menerusi pelbagai operasi terancang.

Katanya, seperti sedia maklum, ESSCom dipertanggungjawabkan untuk mengkoordinasi pengoperasian dan pengawalan kawasan keselamatan merangkumi 10 daerah pantai timur dari Kudat hingga ke Tawau.

Artikel Berkaitan:

"Op Cegah PATI (OCP) perairan dan daratan yang akan terus diperkasakan untuk mengawal pergerakan keluar masuk sempadan negara.

"Ia juga bagi mengekang pergerakan kumpulan penculikan, Abu Sayyaf dan aktiviti-aktiviti rentas jenayah sempadan di Pantai Timur Sabah.

“Selain itu, ESSCOM juga akan turut memperkasakan Op Gasak Laut dan Darat yang direncanakan secara berjadual serta terancang dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia)," katanya.

Hamzah berkata, kawalan keselamatan di daratan melalui 'Road Check Point' (RCP) Sapi Nangoh serta Kalabakan juga akan terus diperkasakan dan diletakkan dibawah Op Taring Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah.