OKU boleh hubungi hotline ProtectHealth untuk urusan suntikan vaksin

Dr Anas
Dr Anas
A
A
A

SHAH ALAM - Orang awam yang mempunyai tanggungan orang kurang upaya (OKU) di rumah yang masih belum mendapat suntikan vaksin dan dos penggalak boleh menghubungi talian hotline atau WhatsApp ke ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) dengan segera.

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Datuk Dr Anas Alam Faizli berkata, ia adalah usaha kerjasama antara ProtectHealth dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) bagi menyeru semua warganegara atau bukan warganegara Malaysia mendaftarkan tanggungan OKU mereka yang tidak dapat hadir ke PPV.

“Mereka boleh menghubungi talian hotline 1700-811-007 setiap hari (9pagi hingga 5 petang).

“Sebagai alternatif, orang ramai boleh menghantar teks melalui aplikasi WhatsApp di talian +6012-6787911 dan mereka akan menerima maklum balas dalam masa satu hingga tiga hari,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Dr Anas berkata, mereka boleh juga boleh mendaftar melalui laman web ProtectHealth di https://vaksincovid.protecthealth.com.my/register_vaccinee.

“Mereka boleh memohon di aplikasi MySejahtera dengan pergi ke Helpdesk, klik pilihan A – Temu Janji Vaksinasi Dos Penggalak dan klik pilihan C – Saya/tanggungan (dependent) saya terlantar dan memerlukan vaksin di rumah,” katanya.

Dalam pada itu, Anas berkata, sehingga 30 Mac 2022, sebanyak 15.7 juta dos penggalak telah diberikan dan 12.1 juta dos atau 77.4 peratus disumbangkan oleh Pengamal Perubatan Swasta (PMP) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) penjagaan kesihatan di bawah ProtectHealth.

“ProtectHealth melalui pengamal perubatan swasta dan NGO kesihatan akan terus membantu dan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk mempercepat dan memaksimumkan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) untuk dos penggalak.

Artikel Berkaitan:

“ProtectHealth ingin menasihatkan orang ramai termasuk OKU untuk meningkatkan perlindungan diri daripada virus Covid-19 dengan mendapatkan vaksin dos penggalak, terutama menjelang Ramadan dengan memanfaatkan program yang disediakan ini.

“Selain daripada program Home Vaccination, bagi memenuhi keperluan vaksinasi golongan yang memerlukan kemudahan khas ini, ProtectHealth juga menjalankan program lain untuk mereka.

“Seperti vaksinasi melalui PPV pandu lalu (drive-through PPV), program vaksinasi jangkau luar (outreach) dan ProtectHealth sentiasa memastikan PPV di bawah ProtectHealth dilengkapi kemudahan mesra OKU,” katanya.

Tambah beliau, semua program itu pada mulanya diperkenalkan untuk meningkatkan kebolehcapaian dan memaksimumkan vaksinasi bagi kumpulan seperti mereka yang terlantar, golongan gelandangan, warga asing tanpa kerakyatan, Orang Asli dan penduduk luar bandar bagi memastikan tiada sesiapa yang tertinggal daripada mendapatkan vaksinasi Covid-19.

“Selain itu, program-program ini masih terus dijalankan untuk memastikan semua orang diberi vaksin dan mendapat dos penggalak. ProtectHealth memainkan peranan penting untuk mewujudkan kemudahan penjagaan kesihatan yang adil dan saksama untuk semua.

“Perkhidmatan Home Vaccination ini juga adalah inisiatif kerajaan untuk memperluaskan dan mempercepatkan vaksinasi dos penggalak sebelum keistimewaan sijil vaksinasi penuh ditarik semula daripada penerima vaksin yang tidak mendapat dos penggalak selewat-lewatnya pada 31 Mac 2022,” katanya.