Tiga pegawai Mara Corp akan dituduh dalam masa terdekat: SPRM

Azam (tengah) semasa sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Khusus Asas Pegawai SPRM Siri 25 Bilangan 1/2021 (Penolong Penguasa Gred P29) di Padang Kawad, Kompleks SPRM Johor, pada Khamis.
Azam (tengah) semasa sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Khusus Asas Pegawai SPRM Siri 25 Bilangan 1/2021 (Penolong Penguasa Gred P29) di Padang Kawad, Kompleks SPRM Johor, pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI]Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah melengkapkan dan menyerahkan hasil siasatan kes tiga pegawai Mara Corporation Sdn Bhd (Mara Corp) yang terlibat salah guna kuasa dan salah urus syarikat kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya yakin ketiga-tiga suspek berkenan akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat.

"Kita telah melengkapkan siasatan mengenai dakwaan salah guna kuasa dan salah urus Mara Corp dan telah kemukakan kepada AGC sebelum ini. Jadi, kita akan tunggu keputusannya tidak lama lagi.

"Saya percaya keputusannya nanti akan berakhir dengan pertuduhan kepada pihak yang kita cadangkan. Yang terbabit itu tiga orang, namun kita serahkan kepada AGC untuk menghalusinya lagi sama ada tiga dipertuduhkan atau sebahagian daripadanya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Khusus Asas Pegawai SPRM Siri 25 Bilangan 1/2021 (Penolong Penguasa Gred P29) di Padang Kawad, Kompleks SPRM Johor di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Seri Norazlan Mohd Razali dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Junipah Wandi.

Azam sebelum ini dilaporkan berkata, setakat ini hanya lima pegawai kanan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) itu dipanggil untuk dirakam keterangan.

Isu itu terbongkar apabila tular dalam media sosial sepucuk surat permohonan untuk melakukan siasatan terhadap lima pegawai tinggi Mara.

Artikel Berkaitan:

Pendedahan itu dibuat satu pemilik akaun Twitter menerusi ciapannya yang turut melampirkan enam halaman surat terbabit berhubung integriti pegawai agensi berkenaan.

Sementara itu, Azam berkata, SPRM sedia mewujudkan platform kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor yang baharu melakukan pengisytiharan harta dalam masa terdekat.

Beliau berkata, model berkenaan menyamai panduan pengisytiharan harta dilakukan di peringkat Parlimen.

Jelas beliau, platform berkenaan lebih sistematik berbanding ADUN melakukan pengisytiharan harta secara berasingan.

"SPRM tiada masalah bagi mewujudkan platform berkenaan pada bila-bila masa kerana panduannya sudah ada.

"SPRM mencadangkan agar ia dipercepatkan seperti titah tuanku Sultan Johor selain diwujudkan kod etika pengisytiharan harta seperti yang dilakukan di peringkat Parlimen dan anggota pentadbiran di peringkat Pusat," katanya.