Imigresen rahsiakan strategi operasi, elak dikesan tonto

PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kini merahsiakan strategi pergerakan, termasuk dalam kalangan pegawainya sendiri bagi memastikan keberkesanan penangkapan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), susulan kegiatan tonto yang dikesan mengganggu operasi penguatkuasaan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, isu tonto itu bukan perkara baharu, namun taktik kumpulan berkenaan yang sentiasa memantau dan menyalurkan maklumat awal menyebabkan terdapat operasi JIM tidak mencapai sasaran.
“Kita sentiasa memantau pergerakan-pergerakan mereka (tonto). Sebab itu bila JIM melaksanakan sebarang operasi, kita akan menyusun strategi bagi mengelak dikesan oleh tonto-tonto.
“Kalau kita dapat kenal pasti mereka kita akan buat laporan kepada agensi yang berkaitan untuk diambil tindakan, tapi bukan satu perkara yang mudah untuk mengesan," katanya.
Zakaria berkata demikian selepas menghadiri program Semarak Ramadan di ibu pejabat JIM di sini pada Khamis.
Zakaria tidak menafikan kehadiran tonto menjadi antara faktor yang mengekang penguatkuasaan undang-undang apabila kebocoran maklumat membolehkan warga asing melarikan diri lebih awal sebelum anggota tiba di lokasi.
“Kadang-kadang bila mereka dapat tahu pergerakan kita lebih awal, operasi gagal. Apabila sampai, mereka sudah melarikan diri," katanya.
Mengulas kemungkinan wujud penglibatan ‘orang dalam’ yang membocorkan maklumat kepada tonto, beliau menegaskan pihaknya mengambil tindakan dengan melaporkan perkara itu kepada agensi berkaitan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Ya, kepada SPRM, pihak polis juga kita ada buat laporan,” katanya.
Pada Rabu media melaporkan, 13 individu termasuk tiga anggota penguat kuasa direman kerana disyaki mendalangi kartel tonto berkaitan aktiviti rasuah bagi melindungi pemilik lori yang beroperasi di seluruh Semenanjung.
Perintah reman selama tiga hari hingga 27 Februari 2026 dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah terhadap semua suspek selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Seramai 12 lelaki dan seorang wanita berusia antara 30 hingga 50-an ditahan antara pukul 9 pagi hingga 10 malam pada Selasa di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dan sekitar Lembah Klang.
Ringkasan AI
- Jabatan Imigresen Malaysia merahsiakan strategi untuk meningkatkan keberkesanan penangkapan PATI
- Isu tonto bukan baharu dan mengganggu operasi penguatkuasaan dengan menyalurkan maklumat awal
- Tonto sentiasa dipantau dan strategi disusun untuk mengelak dikesan
- Kebocoran maklumat membolehkan warga asing melarikan diri sebelum anggota tiba
- Laporan kepada agensi berkaitan termasuk SPRM dibuat berkaitan penglibatan 'orang dalam'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

