Kedah umum tiga kadar zakat fitrah

Fadzil (kiri) dan Zakaria selepas sidang akhbar di Menara Zakat, Alor Setar pada Khamis.
Fadzil (kiri) dan Zakaria selepas sidang akhbar di Menara Zakat, Alor Setar pada Khamis.
A
A
A
ALOR SETAR - Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) mengumumkan tiga kadar zakat fitrah di negeri ini bagi tahun 2022 iaitu RM7, RM14 dan RM21.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kutipan dan Agihan LZNK, Datuk Syeikh Fadzil Awang, penetapan kadar zakat tersebut dibuat berdasarkan harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan kebanyakan penduduk Islam di negeri ini.

"Kadar RM7 adalah bagi umat Islam menjadikan makanan hariannya daripada beras jenis super special tempatan dan setaraf dengannya.

"Penetapan kadar RM14 adalah daripada beras jenis super import, beras perang, beras pulut, herba ponni, beras wangi dan setaraf dengannya manakala bagi kadar RM21 pula adalah untuk umat Islam yang menjadikan makanan hariannya daripada beras jenis basmathi, beras Jepun, beras merah dan setaraf dengannya," katanya pada sidang akhbar di Menara Zakat, dekat sini pada Khamis.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman.

Fadzil yang juga Mufti Kedah berkata, kutipan zakat fitrah sebanyak RM11.7 juta disasarkan oleh LZNK pada tahun 2022 dengan anggaran peningkatan sebanyak lima peratus berbanding kutipan tahun lalu iaitu RM11.14 juta.

Menurutnya, kutipan zakat fitrah yang diterima akan diagihkan sepenuhnya membabitkan RM6.04 juta kepada 18,800 orang penerima bantuan bulanan yang dikategorikan fakir sebanyak RM400 dan miskin sebanyak RM300.

"Sebanyak RM3.6 juta pula diagihkan kepada 9,000 guru agama seluruh Kedah iaitu sebanyak RM400 seorang manakala RM300,000 lagi akan diberikan kepada 300 mualaf di Kedah," ujarnya.

Sementara itu, Zakaria berkata, LZNK mengalu-alukan pembayaran zakat dibuat secara dalam talian dan pembayar akan menerima resit pembayaran melalui sistem pesanan ringkas (SMS) atau e-mel.
Artikel Berkaitan:


Menurutnya, bayaran masih boleh dibuat menerusi 3,100 amil di seluruh negeri bagi pembayar yang menghadapi masalah untuk menggunakan kaedah digital.

"Amil yang dilantik juga akan dibekalkan dengan buku resit fitrah tetapi dalam kuantiti yang sangat terhad.

"Tujuan kaedah digital ini digunakan bagi mengenal pasti sasaran zakat pada tahun depan kerana kita mempunyai data mengenai mereka (asnaf).

"Pada masa sama dalam tempoh tiga tahun akan datang, kita akan peroleh data jumlah penduduk muslim yang tepat di Kedah," katanya.