Banyak hotel belum buka kekangan Arab Saudi beri tambahan kuota haji

Foto hiasan - (Gambar kecil: Idris)
Foto hiasan - (Gambar kecil: Idris)
A
A
A

IPOH - Masalah penginapan antara kekangan dihadapi kerajaan Arab Saudi untuk menambah kouta haji kepada negara lain termasuk Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, ketika ini masih banyak hotel-hotel di negara itu belum beroperasi dan dibuka kepada umum susulan pandemik Covid-19.

Keadaan itu jelasnya, menjadi antara faktor kerajaan Arab Saudi tidak dapat memberikan jaminan tambahan kuota haji kepada semua negara.

"Memang harapan dan permintaan kita supaya kuota haji negara ini ditingkatkan, tetapi mereka (kerajaan Arab Saudi) pun mempunyai kekangan mereka sendiri antaranya masalah penginapan dan hotel di sana yang masih belum dibuka.

"Mengenai kuota ini, Arab Saudi tidak boleh berikan jaminan kepada semua negara lagi, maksudnya bukan Malaysia sahaja, namun semua negara," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada 21 keluarga mangsa banjir dan ribut di Dewan Dato' Ahmad Said Sungai Rokam di sini pada Rabu.

Idris berkata, kerajaan melalui Tabung Haji bagaimanapun telah melakukan persediaan rapi termasuk rundingan bersama pengusaha hotel di sana dari segi tempahan penginapan sekiranya mendapat pertambahan kuota.

Katanya, peranan Tabung Haji sebagai badan berkanun pengurusan haji jemaah Malaysia telah memberikan imej yang baik dan mendapat kepercayaan daripada pengusaha hotel negara itu.

"Kita sendiri pun sudah 'lock' (tempah) beberapa hotel di sana, oleh kerana imej Tabung Haji yang baik, maka timbul kepercayaan daripada pengusaha hotel di sana untuk berikan jaminan penginapan kepada kita walaupun mungkin pada saat akhir nanti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam laporan sebelum ini, pemain industri pakej haji berharap kerajaan Arab Saudi dapat meningkatkan kuota untuk rakyat Malaysia mengerjakan ibadah haji di negara itu melebihi 32,000 jemaah.

Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel & Services Sdn Bhd, Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali berkata, ini kerana sejak 2019 tiada kemasukan jemaah haji dibenarkan ke Tanah Haram susulan pandemik Covid-19.

Kouta rasmi jemaah haji bagi Malaysia setakat ini adalah 31,600, selepas pertambahan kouta 10,000 yang diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjadi Perdana Menteri pada Mac tahun lalu.