Anwar hargai undangan kerajaan Arab Saudi

Anwar (kiri) bersama Pengerusi Kumpulan Bank Pembangunan Islam, Dr. Muhammad Al Jasser ketika hadir menyampaikan ucaptama pada Program Bersama Komuniti Perniagaan Bank Pembangunan Islam di Jeddah baru-baru ini. - Foto Bernama
Anwar (kiri) bersama Pengerusi Kumpulan Bank Pembangunan Islam, Dr. Muhammad Al Jasser ketika hadir menyampaikan ucaptama pada Program Bersama Komuniti Perniagaan Bank Pembangunan Islam di Jeddah baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menzahirkan penghargaan atas undangan Kerajaan Arab Saudi untuk melawat ke negara itu dalam tempoh yang singkat selepas dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Lawatan rasminya ke negara Timur Tengah itu bersama delegasi pada 22 hingga 24 Mac lepas merupakan lawatan negara luar ASEAN pertamanya selepas mengangkat sumpah memegang jawatan berkenaan pada 24 November tahun lepas.



Menerusi hantaran di Facebook rasminya malam Ahad, beliau yang juga Menteri Kewangan menyifatkan hubungan Malaysia-Arab Saudi termasuk dalam urusan perniagaan, perbankan dan kegiatan Islam terjalin dengan sangat baik.



"Saya percaya kerjasama Malaysia-Arab Saudi akan terus diperkasa menerusi pelbagai lapangan sekali gus memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Dalam lawatan tiga harinya ke negara itu, Perdana Menteri menerima kunjungan hormat Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Hissein Brahim Taha dan Setiausaha Agung Liga Dunia Islam, Sheikh Dr Mohammad bin Abdulkarim Al-Issa.

Beliau juga sempat mengadakan pertemuan dengan komuniti perniagaan Arab Saudi di ibu pejabat Bank Pembangunan Islam, di Jeddah dan menyaksikan majlis menandatangani tiga Perjanjian Persefahaman melibatkan syarikat swasta Malaysia dan Arab Saudi.

Anwar dan delegasi juga sempat melengkapkan ibadah umrah di Makkah dan ziarah di Madinah serta beramah mesra dalam program iftar bersama rakyat Malaysia yang menetap di Jeddah, Makkah dan Madinah.

Untuk rekod, pada tahun 2022, Arab Saudi merupakan rakan dagang terbesar, destinasi eksport ketiga terbesar dan sumber import terbesar negara di rantau Asia Barat dengan jumlah dagangan dua hala berjumlah RM45.52 bilion (AS$10.26 bilion), peningkatan sebanyak 159.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, eksport negara ke Arab Saudi, meningkat sebanyak 43.8 peratus berjumlah RM7.28 bilion (AS$1.66 bilion), manakala, jumlah import negara dari Arab Saudi mencatatkan peningkatan sebanyak 205.8 peratus berjumlah RM38.24 bilion (AS$8.60 bilion). - Bernama