Tanam ganja: Bekas penyanyi nasyid dituduh di mahkamah esok

Bekas penyanyi nasyid dan komposer yang ditahan kerana memiliki dan menanam pokok ganja akan dituduh di Mahkamah Petaling Jaya pada Khamis. (Gambar hiasan)
Bekas penyanyi nasyid dan komposer yang ditahan kerana memiliki dan menanam pokok ganja akan dituduh di Mahkamah Petaling Jaya pada Khamis. (Gambar hiasan)
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang bekas penyanyi nasyid dan komposer yang ditahan kerana memiliki dan menanam pokok ganja di kediamannya akan dituduh di Mahkamah Petaling Jaya, di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pertuduhan di mahkamah dibuat selepas polis menerima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

"Kertas siasatan telah dilengkapkan dan TPR arah untuk tuduh di mahkamah.

"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya pada jam 9 pagi oleh pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Suspek berusia 47 tahun itu ditahan polis bersama 17 pasu pokok ganja, yang dipercayai ditanam sejak dua bulan lalu dalam serbuan di kediamannya di sebuah kondominium di Kota Damansara, Petaling Jaya, Khamis lalu.

Selain itu, polis turut merampas ketulan mampat ganja seberat 214 gram.

Mohamad Fakhrudin dalam sidang akhbar pada Jumaat berkata, hasil ujian saringan air kencing terhadap artis itu didapati positif dadah jenis THC (ganja).

Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menanam ganja terbabit untuk kegunaan sendiri selain telah terlibat dengan penagihan dadah sejak 10 tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952.