4 ah long ditahan ugut peminjam

Empat lelaki disyaki ah long ditahan kerana melakukan ugutan terhadap peminjam.
Empat lelaki disyaki ah long ditahan kerana melakukan ugutan terhadap peminjam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan empat ah long kerana disyaki melakukan ugutan jenayah terhadap peminjam yang gagal membayar hutang pada Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, kesemua lelaki berusia 18 hingga 25 tahun itu ditahan di sebuah premis di Bandar Bukit Jalil di sini, pada jam 4 petang.

"Pada 18 Mac lalu, kita menerima laporan daripada mangsa yang juga kakitangan kerajaan membuat pinjaman peribadi RM2,000 secara dalam talian.

"Namun pengadu tidak mampu untuk membuat bayaran balik disebabkan kadar bunga pinjaman yang tinggi," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Mahidisham berkata, keluarga pengadu diugut akan dicederakan melalui beberapa panggilan sekiranya mangsa gagal membayar hutang tersebut.

"Kita berjaya menahan empat suspek serta merampas 13 telefon bimbit dan sembilan keping kad bank yang digunakan dalam menjalankan kegiatan terbabit," katanya.

Beliau berkata, sindiket itu menjalankan aktiviti berkenaan antara tiga hingga empat bulan.

"Kesemua suspek direman empat hari sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kes berasingan, Mohd Mahidisham memaklumkan, seramai 11 lelaki diberkas kerana disyaki terlibat dengan sindiket penipuan bidaan terhadap pembelian hartanah dan barang berharga yang tidak wujud.

Mohd Mahidisham berkata, kesemua individu berusia 22 hingga 36 tahun itu ditahan di sebuah premis di sini, pada jam 7 malam Isnin.

"Siasatan awal mendapati, sindiket ini telah menjalankan operasi berkenaan sejak Mac lalu.

"Mereka menawarkan mangsa dari luar negara untuk membuat bidaan terhadap pembelian hartanah dan barang berharga yang disyaki tidak wujud," katanya.

Mohd Mahidisham berkata, pihaknya turut merampas lima unit komputer riba, 27 telefon bimbit dan serangkai kunci rumah.

"Kesemua suspek direman sehingga Rabu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.