Kerajaan pertimbang bentang laporan penuh siasatan pemilikan saham Azam Baki - Azalina

KUALA LUMPUR - Kerajaan mempertimbangkan keperluan membentangkan laporan penuh Jawatankuasa Khas Siasatan berhubung pemilikan saham bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki di Dewan Rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pertimbangan itu akan mengambil kira peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa termasuk aspek kerahsiaan dokumen siasatan.
Menurutnya, jawatankuasa khas yang ditubuhkan pada 13 Februari 2026 itu telah menyelesaikan siasatan secara bebas, telus dan profesional sebelum hasilnya dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
"Berhubung pertanyaan sama ada laporan penuh Jawatankuasa Khas ini akan dibentangkan atau tidak, kerajaan akan mempertimbangkan perkara tersebut sewajarnya, sekiranya terdapat keperluan.
"Mengambil kira peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, khususnya berkaitan perlindungan maklumat peribadi, kerahsiaan dokumen siasatan dan rekod perisytiharan harta serta kepentingan pihak-pihak yang berkaitan," katanya dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mengenai keputusan Jemaah Menteri terhadap laporan siasatan pemilikan saham Azam Baki yang diteliti pada 11 Mac lalu.
Ka Siong turut ingin mengetahui sama ada laporan berkenaan serta hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dakwaan 'mafia korporat' akan dibentangkan di Dewan Rakyat.
Sebelum ini, media melaporkan Jawatankuasa Khas Siasatan ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan pemilikan saham, perisytiharan harta serta perkara berbangkit yang dikaitkan dengan Azam yang ketika itu menerajui SPRM.
Jawatankuasa berkenaan diketuai Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan turut dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Mengulas lanjut, Azalina memberitahu, sebarang perkembangan atau keputusan rasmi yang wajar dimaklumkan kepada umum akan diumumkan oleh Pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN), sebagaimana dinyatakan dalam kenyataan media pada 31 Mac lalu.
Tambahnya, perkara itu juga pernah dijawab di Dewan Rakyat pada 29 Oktober lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

