Deftech mampu selenggara aset pertahanan sehingga 15 tahun

Fazley Ariffin
Fazley Ariffin
A
A
A

KUALA LUMPUR - DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd (Deftech) memberi jaminan mampu untuk memenuhi piawaian penyelenggaraan aset dan komponen ketenteraan yang dibekalkan mereka sehingga 15 tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Deftech, Fazley Ariffin berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pengeluar aset berkenaan menerusi satu perjanjian persefahaman bersama Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).

Katanya, jaminan tersebut secara tidak langsung meningkatkan potensi syarikat tempatan membangunkan komponen ketenteraan buatan Malaysia yang bertaraf antarabangsa.

"Persoalan yang sering timbul adalah bagaimana kita mahu memastikan setiap alatan atau kenderaan mampu bertahan untuk tempoh 15 tahun akan datang. Itu yang penting sebenarnya.

"Maka kerana itu kita bersama-sama rakan strategik memastikan setiap pembekalan alat ganti dan komponen memenuhi bekalan dan piawaian mengikut spesifikasi ditetapkan," katanya dalam majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di sini pada Selasa.

Majlis tersebut disaksikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan (DSA) 2022 dan Pameran Keselamatan Antarabangsa Asia (Nastec) di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut Fazley berkata, usaha sama tersebut bukan sahaja bermanfaat kepada Deftech malah bakal memberi impak positif kepada keseluruhan sektor industri pertahanan negara.

Katanya, menerusi kerjasama bersama SIRIM pihaknya akan melihat potensi untuk membangunkan sendiri komponen dan menaik taraf produk sedia ada secara dalaman agar lebih bersesuaian dengan keperluan operator tempatan.

Artikel Berkaitan:

“Dengan wujudnya kerjasama bersama SIRIM, Deftech berharap dapat menyediakan komponen ketenteraan secara dalaman yang berkualiti tinggi untuk angkatan pertahanan Malaysia.

“Dalam jangka panjang, kami berharap dapat merangsang pengetahuan teknologi dan membina komponen kritikal secara tempatan, yang akan membawa kepada perbelanjaan pertahanan yang lebih rendah dan memupuk industri pertahanan yang lebih berdikari,” ujarnya.