Kilang benih padi atasi masalah bekalan

Azman (dua dari kanan) ketika mengadakan lawatan ke gerai pameran agensi kerajaan yang mengambil bahagian pada program Hari Peladang, Penternak Dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah (HPPNK) 2022 di Stadium Kulim.
Azman (dua dari kanan) ketika mengadakan lawatan ke gerai pameran agensi kerajaan yang mengambil bahagian pada program Hari Peladang, Penternak Dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah (HPPNK) 2022 di Stadium Kulim.
A
A
A

KULIM - Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Kedah membina pusat pengeluaran benih padi bagi menampung keperluan petani di negeri ini selain untuk memastikan tiada lagi masalah bekalan benih padi sah tidak mencukupi.

Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Azman Nasruddin berkata, pusat pengeluaran benih padi itu dibangunkan di Kubur Panjang, Pendang dan dijangka siap pada Ogos tahun ini.

Menurutnya, kilang beras yang diubahsuai kepada kilang membekalkan benih padi itu mampu menghasilkan kapasiti benih sebanyak 5,000 metrik tan atau 250,000 beg dan diyakini dapat membantu pusat pengeluaran benih padi sedia ada dalam menyelesaikan masalah benih sah yang membelenggu petani di negeri ini.

"Kita juga akan pastikan masalah bekalan benih padi tidak lagi berlaku selepas kilang ini beroperasi, pada masa sama kita tawarkan benih berkualiti.

"Memandangkan keperluan bekalan padi bagi pemprosesan beras domestik dijangka terus meningkat dan trend mengimport beras dari luar negara perlu dikurangkan bagi tujuan sekuriti bekalan makanan negara, terdapat keperluan untuk kita tingkatkan produktiviti padi di peringkat domestik dengan bekalkan benih padi yang mencukupi," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak Dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah (HPPNK) 2022 di Stadium Kulim di sini pada Isnin.

Azman berkata, inisiatif pertama PPN Kedah ini akan melengkapi empat lagi pusat pengeluar benih padi di negeri ini.

"Kilang terbabit mampu menampung keperluan malah untuk musim pertama ini, kementerian menyediakan stok benih berlebihan bagi mengelak kejadian berulang.

"Kedah memerlukan 14,000 metrik tan benih padi semusim di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), kuota benih padi belum diputuskan namun kita mohon 5,000 metrik tan untuk kawasan luar MADA meliputi 27,000 hektar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Azman berkata, diharap benih padi daripada kilang berkenaan dapat diedarkan bagi musim pertama penanaman 2023.

"Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kedah juga telah melaksanakan projek mega rintis tanaman padi pulut di bawah pengendalian Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Langkawi bermula akhir tahun 2019 melibatkan 27 peserta dengan keluasan 39 hektar," katanya lagi.

Menurutnya, jumlah peserta meningkat kepada 320 orang pada tahun lalu melibatkan keluasan 540 hektar.

"Ini kerana harga padi pulut lebih mahal berbanding padi biasa iaitu RM1,600 untuk satu tan. Produk padi pulut Langkawi ini menjadi salah satu signature produk Pulau Langkawi," katanya.