Pasangan suami isteri nyaris maut dalam kebakaran rumah teres

KLANG – Pasangan suami isteri nyaris maut selepas rumah teres dua tingkat yang didiami mereka terbakar dalam kejadian di No 9, Solok Batu Unjur 3B, Taman Bayu Perdana, di sini pada Rabu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.39 petang.
Beliau berkata, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Andalas bersama bantuan BBP Pelabuhan Klang digerakkan ke lokasi kejadian.
"Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 4.48 petang dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah teres dua tingkat jenis kelas berkeluasan 20x60 kaki persegi.
"Anggaran kemusnahan akibat kebakaran adalah kira-kira 70 peratus," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Ahmad Mukhlis berkata, kebakaran melibatkan dua mangsa iaitu seorang lelaki warga Bangladesh berusia 27 tahun dan seorang wanita warga Indonesia berusia 38 tahun.
Menurutnya, kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan oleh anggota bomba yang bertugas.
"Wanita berkenaan diberikan bantuan alat pernafasan oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) di lokasi kejadian.
"Bagaimanapun, kedua-dua mangsa dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Beliau berkata, operasi pemadaman dan kawalan kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 5.10 petang.
"Operasi melibatkan seramai 14 anggota dengan kekuatan jentera dari BBP Sri Andalas menggunakan Fire Rescue Tender (FRT) dan Navara, manakala BBP Pelabuhan Klang menggunakan Light Fire Rescue Tender (LFRT) serta EMRS.
"Setakat ini punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Ringkasan AI
- Pasangan suami isteri nyaris maut apabila rumah mereka di Klang terbakar
- Bomba menerima panggilan kecemasan tentang kebakaran pada jam 4.39 petang
- Kebakaran melibatkan rumah teres dua tingkat dengan kemusnahan anggaran 70%
- Dua mangsa iaitu warganegara Bangladesh dan Indonesia berjaya diselamatkan tanpa kecederaan
- Operasi pemadaman dan kawalan kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 5.10 petang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

