JKN Kelantan ambil sampel makanan bazar Ramadan

KOTA BHARU – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan akan melaksanakan pemantauan berkala di kesemua 62 bazar Ramadan seluruh negeri, termasuk mengambil sampel makanan secara rawak untuk pemeriksaan kebersihan dan keselamatan.
Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, sampel makanan yang diambil akan dihantar ke makmal untuk mengesan sebarang pencemaran.
“Pengambilan sampel akan dilakukan secara berkala dan tidak semestinya disebabkan berlaku kes keracunan makanan.
“Tujuannya untuk memastikan tahap kebersihan makanan yang dijual di bazar dan selamat dimakan pengguna,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Kanser Sedunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, pada Rabu.
Dr Mohd Azman menambah, JKN Kelantan mengadakan taklimat kepada pembekal makanan dua minggu lalu, termasuk memastikan pekerja menerima vaksinasi tifoid, hasil kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Dalam pada itu, beliau menasihatkan peniaga supaya memastikan makanan yang dijual bersih, selamat dan sihat selain mengurangkan penggunaan gula dalam juadah mahupun minuman walaupun Kelantan terkenal dengan makanan manis.
“Pengurangan gula penting, terutamanya untuk pesakit kencing manis.
“Pesakit yang menggunakan insulin juga disarankan merujuk doktor bagi mendapatkan nasihat betul sebelum berpuasa supaya tidak berlaku hipoglisemia, keadaan gula rendah dalam darah yang boleh menyebabkan pengsan atau gelap mata,” jelasnya.
Ringkasan AI
- Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan akan melaksanakan pemantauan berkala di 62 bazar Ramadan di seluruh negeri Sampel makanan akan diambil secara rawak untuk diperiksa kebersihan dan keselamatannya
- Sampel makanan dihantar ke makmal untuk mengesan pencemaran
- Tujuan pemantauan adalah untuk memastikan makanan yang dijual di bazar bersih dan selamat untuk dimakan
- Peniaga disarankan mengurangkan penggunaan gula dalam makanan dan minuman serta memastikan makanan yang dijual bersih dan selamat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

