'Pengangguran isu ekonomi, bukan matematik mudah'

Noor Azlan
Noor Azlan
A
A
A

SHAH ALAM - Pengangguran merupakan isu ekonomi dan tidak boleh diterjemah sewenang-wenangnya dengan matematik mudah.

Itu pendapat Profesor Ekonomi, UKM-Graduate School of Business yang juga Ahli Majlis Tindakan Ekonomi (MTE), Profesor Tan Sri Noor Azlan Ghazali.

Menurut beliau, secara purata kadar pengangguran Malaysia sejak 2010 ialah sekitar tiga peratus antara 400,000 hingga 500,000 orang menganggur pada setiap masa.

Jelasnya, secara kasar, ia merupakan kadar pengangguran ‘guna tenaga penuh’ dan kadar lebih rendah boleh menyebabkan inflasi.

“Tidak pernah dalam fikiran ahli ekonomi untuk menurunkan pengangguran kepada sifar. Jika Jamin Kerja boleh mencipta 600,000 pekerjaan, pengangguran Malaysia akan menghampiri 0 peratus, itu adalah keajaiban ekonomi!

“Definisi 'bekerja' yang sering dilaporkan hari ini sebenarnya petunjuk khusus untuk laporan ekonomi. Ia boleh diterima oleh ahli ekonomi untuk tujuan yang sangat khusus tetapi tidak membawa 'erti kehidupan' tujuan bekerja iaitu memperoleh pendapatan berkualiti," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurut beliau, jutaan mereka yang dikatakan 'bekerja' hakikatnya menderita kerana bekerja di bawah kelayakan dan masa yang terhad.

Artikel Berkaitan:

"Mereka bekerja dengan perasaan yang tertekan," katanya.

Jelas Noor Azlan, kualiti pekerjaan adalah teras utama yang perlu ditangani.

“Pekerjaan dengan pendapatan gaji RM2,000 bagi seorang graduan baru tamat pengajian pastinya rezeki yang patut disyukuri tetapi bukan penyelesaian mutlak kepada masalah yang dihadapi.

“Ia mungkin langkah jangka pendek yang ‘menyakitkan’, setidaknya bergaji,” ujar beliau.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan memaklumkan jumlah pengangguran setakat Januari 2022 telah menurun kepada 680,400 orang daripada 687,600 orang pada Disember 2021, menjadikan kadar pengangguran berada pada 4.2 peratus.

Penurunan jumlah pengangguran sebanyak 1.1 peratus dari Disember ke Januari ini merupakan sebahagian daripada sumbangan inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia yang dijangka akan membuka 600,000 peluang pekerjaan pada tahun 2022.