[VIDEO] 15 individu guna kayu besbol samun kedai alat ganti komputer

Tangkap layar kejadian samun tular di laman sosial.
Tangkap layar kejadian samun tular di laman sosial.
A
A
A

KAJANG - Seorang pengawal keselamatan menempuh detik mencemaskan apabila diserang sekumpulan individu bersenjatakan kayu besbol dalam kejadian samun di sebuah kedai menjual peralatan alat ganti komputer di Bandar Damai Perdana Cheras pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu mangsa didakwa sedang bekerja di premis berkenaan diserang 15 individu.

"Kesemua suspek bertindak memecah masuk ke dalam premis dan melarikan peralatan alat ganti komputer yang berada di dalam premis di tingkat satu yang dianggarkan bernilai RM70,000.

"Suspek terlibat dipercayai menggunakan kenderaan Nissan Navara warna kelabu, Toyota Hiace warna putih, Perodua Alza warna putih, Proton Exora warna putih," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya, kenderaan mangsa juga dirosakkan oleh suspek semasa dia cuba menghalang mereka melarikan diri.

"Mangsa bagaimanapun tidak mengalami kecederaan dalam kejadian ini dan polis sedang berusaha mengesan suspek terlibat.

"Polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua puluh tahun dan sebat," ujarnya.

Tambahnya, kejadian pada Jumaat lalu dilaporkan kepada polis oleh mangsa jam 9.35 pagi Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, dua rakaman video menunjukkan sekumpulan lelaki bersenjatakan kayu besbol menyamun kedai berkenaan tular di laman sosial pada Ahad.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta untuk menghubungi IPD Kajang di talian 03-89114222 atau mana-mana balai polis atau terus menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhammad Azrul Nizam Zainal Abidin di talian 016-9985730 bagi membantu siasatan.