Jenazah Konstabel Ahmad Azza Fahmi selamat dikebumikan

Imam utama Masjid Jamek Kampung Poh, Tajarudin Hassan mengetuai bacaan talkin pada pengebumian Konstabel Ahmad Azza Fahmi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Poh, Bidor pada Sabtu.
Imam utama Masjid Jamek Kampung Poh, Tajarudin Hassan mengetuai bacaan talkin pada pengebumian Konstabel Ahmad Azza Fahmi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Poh, Bidor pada Sabtu.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Jenazah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar yang terkorban dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru, Johor selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Poh dekat Bidor, pada Sabtu.

Pengebumian anggota berusia 22 tahun itu dilaksanakan penuh adat istiadat polis dengan dihadiri lebih 500 orang termasuk ahli keluarga, saudara-mara dan rakan sejawat.

Kenderaan membawa jenazah Allahyarham yang bergerak pada jam 11.50 pagi dari Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor tiba di rumah keluarganya di Kampung Poh Tambahan jam 5.55 petang dengan diiringi kereta polis.

Ketibaan jenazah di kediaman keluarganya disambut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

Ibu Konstabel Ahmad Azza Fahmi, Nor Haliza Awaluddin, 49, turut hadir pada pengebumian anak keempat dari lapan beradik di Tanah Perkuburan Islam Kampung Poh, Bidor.
Ibu Konstabel Ahmad Azza Fahmi, Nor Haliza Awaluddin, 49, turut hadir pada pengebumian anak keempat dari lapan beradik di Tanah Perkuburan Islam Kampung Poh, Bidor.

Jenazah anak keempat daripada lapan beradik itu kemudian disembahyangkan sekali lagi secara bergilir-gilir dipimpin bapa Ahmad Azza Fahmi, pegawai polis dan orang kampung sebelum dibawa ke tanah perkuburan yang terletak kira-kira satu kilometer.

Sebelum dikebumikan, Ayob Khan menyerahkan Jalur Gemilang kepada bapa Allayarham, Azhar Khaiden, 54, simbolik kepada penghargaan dan pengorbanan Allahyarham ketika berkhidmat dalam PDRM.

Dalam kejadian pada jam 2.30 pagi Jumaat, dua anggota di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru, Johor, Konstabel Ahmad Azza Fahmi dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut selepas ditetak dan ditembak suspek bertopeng.

Artikel Berkaitan:

Koperal Mohd Hasif Roslan yang merupakan anggota Cegah Jenayah yang turut cedera akibat ditembak kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) dekat sini dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Suspek berusia 30-an yang tinggal di Kampung Sungai Tiram berhampiran bagaimanapun telah ditembak mati di tempat kejadian.

Susulan itu, tujuh individu termasuk seorang warga Singapura telah direman selama tujuh hari bermula Sabtu bagi membantu siasatan kes serangan tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!