Dua lelaki ditahan cuba masuk Istana Negara, parang dirampas

Polis menahan sebuah kenderaan jenis Perodua Kembara dinaiki dua lelaki yang cuba memasuki Istana Negara, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Polis menahan sebuah kenderaan jenis Perodua Kembara dinaiki dua lelaki yang cuba memasuki Istana Negara, Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan dua lelaki yang cuba memasuki Istana Negara dan mendakwa mahu berjumpa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, pada Jumaat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, penahanan kedua-dua lelaki tempatan dibuat kira-kira jam 4.40 petang.

"Anggota polis telah menahan sebuah kenderaan jenis Perodua Kembara yang cuba memasuki Pintu 3, Istana Negara atas tujuan untuk berjumpa dengan Yang di-Pertuan Agong.

Rusdi
Rusdi

"Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan suspek telah menjumpai sebilah parang," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing terhadap suspek berusia 29 dan 37 tahun didapati negatif dadah.

Katanya, kedua-dua suspek direman empat hari sehingga 21 Mei untuk siasatan mengikut Seksyen 447/511 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Artikel Berkaitan:

"Polis menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan sesuatu berita yang tidak pasti.

"Sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!