Kes samun kedai serbaneka guna pistol mainan tumpas

Suspek dipercayai mengacu sepucuk pistol mainan ketika melakukan jenayah samun di sebuah kedai serbaneka di sekitar kawasan Cyberjaya di sini.
Suspek dipercayai mengacu sepucuk pistol mainan ketika melakukan jenayah samun di sebuah kedai serbaneka di sekitar kawasan Cyberjaya di sini.
A
A
A

SEPANG - Polis memberkas seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan samun melibatkan beberapa kedai serbaneka bersama tiga lagi rakannya termasuk seorang wanita pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff berkata, siasatan dijalankan setelah pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian samun bersenjatakan pistol di sebuah kedai serbaneka kira-kira jam 3.30 pagi.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa didatangi seorang lelaki yang berpura-pura membeli sebotol minuman.

"Suspek kemudiannya bertindak mengacukan sepucuk pistol terhadap mangsa ketika mangsa berada di kaunter kedai serbaneka tersebut.

"Mangsa yang ketakutan kemudiannya menyerahkan wang berjumlah RM900 kepada suspek sebelum suspek melarikan diri," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, susulan kejadian pihaknya kemudian membuka kertas siasatan berhubung kejadian.

"Siasatan lanjut dijalankan mendapati suspek sama ada terlibat dalam kejadian samun melibatkan dua lagi kedai serbaneka di kawasan Cyberjaya.

"Suspek terlibat turut dipercayai menjalankan kegiatan samun melibatkan dua lagi kedai serbaneka di sekitar kawasan Cyberjaya pada 15 Jun lalu," katanya.

Menurutnya, Op Khas yang dijalankan pihaknya kemudian berjaya mengesan suspek dipercayai terlibat dalam jenayah samun tersebut.

"Serbuan dijalankan di sebuah rumah di kawasan Cyberjaya, Sepang kemudiannya berjaya menahan dua lelaki tempatan, satu lelaki warga asing dan seorang wanita tempatan berumur antara 22 tahun hingga 35 tahun.

"Turut dirampas sepucuk pistol mainan, lapan peluru getah dan sebuah kereta jenis Perodua Bezza," katanya.

Wan Kamarul Azran berkata, ujian saringan mendapati dua daripada empat suspek yang diberkas positif dadah.

"Suspek utama mengaku pistol mainan digunakan dibeli menerusi dalam talian dan hasil samun digunakan untuk kegunaan peribadi dan mengaku melakukan jenayah tersebut bersendirian.

"Suspek utama kemudiannya direman tujuh hari manakala tiga suspek lain direman empat hari," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.