Pembukaan sempadan: Kerajaan Johor tubuh jawatankuasa khas bincang SOP

Mohd Hairi (kanan) dan On (kiri) membersihkan kawasan kubur dalam program Ziarah Pusara Peringkat Negeri Menjelang Ramadan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kurnia, Larkin, Johor Bahru, pada Ahad.
Mohd Hairi (kanan) dan On (kiri) membersihkan kawasan kubur dalam program Ziarah Pusara Peringkat Negeri Menjelang Ramadan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kurnia, Larkin, Johor Bahru, pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri akan menubuhkan satu jawatankuasa khas membincangkan prosedur operasi standard (SOP) khas susulan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura pada 1 April ini.

Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata, jawatankuasa itu akan membincangkan SOP yang sesuai bersama-sama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ).

"SOP ini nanti untuk pekerja Malaysia yang berulang-alik setiap hari. Pagi ini (Ahad) saya akan berbincang dengan jabatan dan agensi di bawah (portfolio) saya termasuk Jabatan Sumber Manusia (JSM).

"Perbincangan dengan teliti untuk tentukan kaedah dan apa sahaja SOP yang akan dijalankan nanti. Kita juga tubuh jawatankuasa khas, bincang dengan Yang Berhomat (Menteri Besar Johor), KKM dan JKNJ. Keputusan akan dimaklumkan dalam masa terdekat," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin berkata demikian kepada pemberita dalam program Ziarah Pusara Peringkat Negeri Menjelang Ramadan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kurnia di sini pada Ahad.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), Datuk On Jabbar@Jaafar.

Pada Jumaat, Persatuan Pekerja Malaysia di Singapura Negeri Johor (Pemas) menggesa KKM supaya menyediakan SOP yang lengkap dan jelas sebelum pembukaan sempadan.

Pemas mendakwa, ini kerana perkara tersebut masih tidak jelas sehingga kini sedangkan bagi pihak kerajaan Singapura, semua SOP dan peraturan untuk memasuki republik itu sudah pun diputuskan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, On berkata, Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) menyasarkan kedudukan lima terbaik dalam penyertaan temasya Sukan Malaysia (Sukma) kali-20 yang akan diadakan pada September ini.

Beliau berkata, ketika ini MSNJ sedang giat menjalankan persiapan rapi melatih atlet-atlet sebagai persediaan mencapai sasaran yang diletakkan.

"Buat masa ini, kita sedang giat membuat persiapan bagi memastikan misi memburu emas di kejohanan Sukma mampu mencapai sasaran.

"Pada temasya Sukma di Perak yang lalu, kontinjen Johor memenangi 29 pingat emas dan berada di posisi ketujuh dalam senarai keseluruhan," katanya.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma temasya tersebut yang dikenali sebagai Sukma XX, MSN 2022 akan diadakan bermula 29 September hingga 8 Oktober ini.

Jawatankuasa Tertinggi Sukma juga bersetuju dengan ketetapan mengekalkan peraturan dan syarat had umur yang telah dipersetujui sebelum ini.