Pengembara Malaysia-Singapura tidak perlu jalani kuarantin

Pengembara yang telah lengkap vaksinasi Covid-19 dibenarkan merentas sempadan darat antara Malaysia dan Singapura tanpa perlu menjalani kuarantin. - Gambar hiasan
Pengembara yang telah lengkap vaksinasi Covid-19 dibenarkan merentas sempadan darat antara Malaysia dan Singapura tanpa perlu menjalani kuarantin. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Protokol pengembaraan darat Malaysia-Singapura terpakai ke atas semua kategori pengembara dan jenis pengangkutan darat.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pengembara yang telah lengkap vaksinasi Covid-19, dibenarkan merentas sempadan darat antara Malaysia dan Singapura tanpa perlu menjalani kuarantin, pengujian Covid-19 sebelum dan semasa ketibaan.

Menurutnya, bagi perjalanan udara Malaysia-Singapura, pengembara hanya perlu melakukan pengujian dalam tempoh dua hari sebelum berlepas.

"Mereka tidak perlu menjalani kuarantin dan melakukan ujian Covid-19 semasa ketibaan," katanya ketika sidang akhbar di Parlimen pada Khamis.

Sebelum ini, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong bersetuju bahawa sudah tiba masanya untuk kedua-dua negara membuka sempadan masing-masing mulai 1 April ini.

Bagi protokol perjalanan sempadan darat Thailand, beliau berkata, pada peringkat awal, hanya dua pintu sempadan darat yang telah dipersetujui untuk dibuka bermula 1 April iaitu Bukit Kayu Hitam-Sadao dan Wang Kelian-Wang Prachan.

"Kerajaan Thailand hanya bersedia untuk menerima pengembara pelancongan sahaja," katanya.

Menurutnya, Malaysia dan Thailand masih mengadakan perbincangan bagi perjalanan pengembara harian dan kerap antara kedua-dua negara.

Artikel Berkaitan:

Susulan pembukaan sempadan negara, Khairy berkata, kerajaan memansuhkan tujuh prosedur bagi pengembara mulai 1 April.

Pemansuhan itu meliputi senarai 18 negara berisiko tinggi, pemakaian peranti pengesanan digital, permohonan kuarantin di rumah, pengembara melalui program Pusat Sehentian (OSC), gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITB), kaunter ujian pengesanan Covif-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta MyTravelPass.