MAFI peruntuk RM15 juta Geran Agropreneur Muda

Ahmad (tengah) bergambar bersama tetamu dan penerima geran agropreneur muda selepas merasmikan Program Jelajah Agropreneur Muda Peringkat Negeri Perak 2022 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng pada Sabtu. - Foto Bernama
Ahmad (tengah) bergambar bersama tetamu dan penerima geran agropreneur muda selepas merasmikan Program Jelajah Agropreneur Muda Peringkat Negeri Perak 2022 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

GOPENG - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyasarkan untuk membantu 750 usahawan muda yang terlibat dalam sektor pertanian dan industri makanan, menerusi Geran Agropreneur Muda (GAM) pada tahun ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, sejumlah RM15 juta diperuntukkan bagi tujuan berkenaan.

"Geran ini sebagai usaha membantu mereka mengurangkan kos permulaan, serta pengembangan projek-projek pertanian dan agromakanan.

"Bantuan yang ditawarkan menerusi pemberian Geran Agropreneur Muda dalam bentuk barangan sehingga RM20,000, bagi setiap penerima berumur antara 18 hingga 40 tahun,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Agropreneur Muda Negeri Perak Tahun 2022 yang turut dihadiri Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Razman Zakaria, di Pusat Transformasi Luar Bandar Gopeng di sini pada Sabtu.

Ahmad berkata, sejak GAM diperkenalkan pada 2016, sejumlah RM137.71 juta diperuntukkan dan telah memberi manfaat kepada 7,699 usahawan muda, di seluruh negara.

Terdahulu, pada majlis itu, Ahmad menyampaikan GAM kepada 73 usahawan di Perak, berjumlah RM1.45 juta. - Bernama

Artikel Berkaitan: