GMP, DPPM sokong keputusan tak jual air kepada Pulau Pinang

(Dari kiri) Norali Nordin dan Muhammad Muhiyuddin
(Dari kiri) Norali Nordin dan Muhammad Muhiyuddin
A
A
A

IPOH - Gagasan Melayu Perak (GMP) menyokong pendirian kerajaan Perak untuk tidak menjual air mentah kepada kerajaan Pulau Pinang.

Presiden GMP, Norali Nordin berkata, sokongan itu merupakan usul ahli jawatankuasa GMP ketika Mesyuarat Agung Tahunan ke-9 yang berlangsung pada Sabtu.

Menurutnya, amat wajar untuk kerajaan negeri mengutamakan kepentingan rakyat sendiri memandangkan penduduk di Perak dijangka meningkat kepada tiga juta orang menjelang tahun 2050.

"GMP menyokong pendirian kerajaan negeri tidak menjual air mentah kepada Pulau Pinang demi kepentingan rakyat terutama rakan-rakan kita di utara Perak seperti di kawasan Parit Buntar, Bagan Serai dan Taiping yang tidak cukup air.

"Memetik laporan media Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa urusan berkaitan sumber air terletak di bawah kuasa kerajaan negeri masing-masing, maka keputusan itu amat wajar dilaksanakan," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada Mesyuarat Agung Tahunan GMP ke-9 di Dewan Komuniti Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, selain mengharapkan penjualan air mentah dari Perak, Pulau Pinang mempunyai pilihan lain bagi membekalkan air di negeri itu termasuk sumber air bawah tanah.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPPM) Perak, Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah berkata, pihaknya turut senada dengan keputusan tersebut.

Jelas beliau, ahli DPPM Perak sendiri masih belum mendapat bekalan air yang mencukupi untuk perusahaan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Ada di antara mereka yang terlibat dalam sektor pertanian serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang sangat bergantung kepada bekalan air.

“Perak sendiri pernah mengalami masalah bekalan air, khususnya apabila paras air di kolam takungan Bukit Merah berkurangan sehingga menjejaskan sawah padi,” katanya.

Pada 3 Mac lalu, kerajaan Perak mengumumkan tidak mampu untuk memenuhi permintaan kerajaan Pulau Pinang bagi membekalkan air mentah ke negeri itu disebabkan keperluan domestik yang masih tidak mencukupi.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beberapa kajian telah dibuat terhadap keperluan air di Perak yang menunjukkan bahawa sumber sedia ada masih belum cukup menampung permintaan sama ada rakyat mahupun industri.