Cabaran menguruskan Pusat Autisme PDRM

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Yayasan Bank Rakyat turut membantu memberi sumbangan kepada Pusat Autisme PDRM. (Gambar kecil: Azura)
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Yayasan Bank Rakyat turut membantu memberi sumbangan kepada Pusat Autisme PDRM. (Gambar kecil: Azura)
A
A
A

SEBUAH pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Yayasan Pengaman Malaysia berdepan pelbagai cabaran dalam menguruskan Pusat Autisme Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur sejak dua tahun lalu.

Pengurus Besar Yayasan Pengaman Malaysia, Azura Izham berkata, antara cabaran tersebut adalah pihaknya perlu mendapatkan kos pembiayaan bagi memastikan Pusat Autisme PDRM itu beroperasi pada tahap optimum.

“Yayasan Pengaman Malaysia perlu menambah wang kira-kira RM20,000 sebulan hanya untuk menampung kos operasi, selain bergantung kepada sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada syarikat lain,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Azura berkata, kerenah birokrasi juga menjadi batu penghalang bagi pihaknya untuk mendapatkan bantuan.

“Saya pernah meminta bantuan daripada sebuah agensi kerajaan dan mereka memaklumkan bahawa Yayasan Pengaman Malaysia perlu disenaraikan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, Yayasan Pengaman Malaysia adalah NGO berdaftar di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Saya berharap lebih banyak bantuan dapat disalurkan kepada golongan memerlukan tanpa birokrasi yang merumitkan,” ujarnya.

Peranan didik anak autisme

Artikel Berkaitan:

Azura berkata, cabaran terbesar adalah kerjasama daripada ibu bapa dalam memastikan pendidikan kanak-kanak autisme itu diteruskan di rumah.

“Ibu bapa perlu memainkan peranan mereka untuk bersama mendidik kanak-kanak tersebut,” katanya.

Tenaga pengajar di Pusat Autisme PDRM mempunyai pengalaman dalam bidang pendidikan khas.
Tenaga pengajar di Pusat Autisme PDRM mempunyai pengalaman dalam bidang pendidikan khas.

Beliau berkata, pihaknya juga menyarankan ibu bapa menyertai kelas di Pusat Autisme PDRM itu sekali seminggu.

“Pegawai intervensi memberi garis panduan serta kaunseling untuk ibu bapa mengenai cara serta kaedah untuk membantu mendidik anak-anak mereka ketika berada di rumah,” katanya.

Azura berkata, Pusat Autisme PDRM itu hanya ada enam pelajar dan empat guru atau pegawai intervensi ketika mula beroperasi pada Ogos 2020.

“Kini kita ada 25 pelajar, enam guru dan seorang ahli terapi, majoriti pelajar di pusat ini adalah anak warga PDRM, manakala 30 peratus lagi anak orang awam.

“Objektif utama adalah kita mahu membantu mendidik kanak-kanak autisme dalam kalangan anak warga PDRM,” katanya.

Azura berkata, pihaknya terpaksa menaikkan yuran berikutan peningkatan kos operasi.

“Ada ibu bapa merungut, disebabkan itu saya meminta mereka menulis surat untuk menyatakan berapa jumlah mereka mampu bayar.

“Kita turut bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk bantu keluarga berkenaan dapatkan bantuan,” katanya.

Yuran yang berpatutan

Beliau berkata, yuran pendaftaran untuk anak anggota polis dan orang awam adalah sebanyak RM400.

“Yuran bulanan pula bagi kelas intervensi awal adalah RM400 untuk anak warga PDRM, RM650 untuk anak orang awam. Kelas Intensif sebanyak RM600 (PDRM), RM750 (orang awam), kelas fullday RM 900 (PDRM) dan RM1,200 (orang awam).

“Yuran di Pusat Autisme PDRM ini agak murah berbanding pusat yang dikendalikan oleh pihak swasta iaitu sebanyak RM3,000 hingga RM12,000 sebulan,” katanya.

Azura berkata, setakat ini senarai menunggu untuk pendaftaran di Pusat Autisme PDRM adalah seramai 70 kanak-kanak.

“Kita memerlukan lebih banyak ruang dan pembiayaan untuk menampung lebih ramai pelajar.

“Kita juga mahu mengambil khidmat seorang lagi ahli terapi tetapi kita tidak mampu,” katanya.

Pegawai intervensi berpengalaman didik kanak-kanak autisme

Azura berkata, Pusat Autisme PDRM itu memberi penekanan kualiti di mana setiap kelas mempunyai nisbah dua pegawai intervensi untuk tiga pelajar atau dua pegawai intervensi untuk empat pelajar.

“Seorang pegawai intervensi dapat memberi tumpuan kepada pendidikan terhadap kanak-kanak itu, modul pendidikan pula bergantung kepada keperluan pelajar berkenaan,” katanya.

Abdul Hamid merasmikan Pusat Autisme PDRM tahun lalu.
Abdul Hamid merasmikan Pusat Autisme PDRM tahun lalu.

Beliau berkata, tiada tempoh masa yang ditetapkan untuk membantu mendidik pelajar autisme kerana setiap kanak-kanak itu menghadapi isu yang berbeza.

“Ada seorang pelajar yang menghadapi masalah tidak dapat menggenggam sudu, selepas beberapa bulan berada di pusat itu, dia boleh makan sendiri,” ujarnya.

Azura berkata, kanak-kanak autisme menghadapi masalah dalam perhubungan sosial, komunikasi, emosi, rutin berkaitan minat, tingkah laku dan kecenderungan dalam melakukan sesuatu.

“Antara ciri ketara anak autisme termasuk mempunyai masalah pertuturan, literasi dan minat dan kemahiran yang terhad.

“Mereka memerlukan bimbingan dan sokongan masyarakat selain ahli keluarga untuk menjalani kehidupan normal dan mendepani pelbagai cabaran,” katanya.

Azura berkata, penubuhan Pusat Autisme PDRM itu adalah cetusan idea bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Hussin Ismail yang juga Timbalan Pengerusi Yayasan Pengaman Malaysia.

“Beliau (Hussin) pernah menemuduga pegawai untuk kenaikan pangkat ketika berkhidmat dalam Lembaga Suruhanjaya Pasukan Polis.

“Beliau mendapati ramai pegawai polis mempunyai anak autisme dan menghadapi kesukaran seperti perlu menampung kos yang tinggi untuk menghantar anak mereka ke pusat jagaan autisme swasta,” katanya.

Azura memaklumkan Pusat Autisme PDRM itu telah dirasmikan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador tahun lalu.

Azura berkata, tenaga pengajar atau pegawai intervensi di Pusat Autisme PDRM itu dipilih dengan teliti dan berpengalaman dalam bidang pendidikan khas.

“Pegawai intervensi di Pusat Autisme PDRM ini mempunyai pengalaman tidak kurang daripada enam tahun dalam menguruskan kanak-kanak berkeperluan khas,” katanya.

Azura (empat dari kiri) bersama tenaga pengajar di Pusat Autisme PDRM.
Azura (empat dari kiri) bersama tenaga pengajar di Pusat Autisme PDRM.

Sementara itu, pegawai intervensi Pusat Autisme PDRM, Suriani Said, 36, berkata, setiap kanak-kanak autisme memerlukan pendekatan berbeza untuk mendidiknya.

“Kita perlu menjaga serta mendidik berdasarkan keperluan mereka,” katanya.

Suriani berkata, sikap kesabaran, belas kasihan dan dedikasi penting dalam membantu kanak-kanak autisme.

Aktiviti renang dapat menguatkan otot kaki tangan kanak-kanak autisme. (Gambar kecil dari kiri: Suriani, Norasilawati)
Aktiviti renang dapat menguatkan otot kaki tangan kanak-kanak autisme. (Gambar kecil dari kiri: Suriani, Norasilawati)

“Memang mencabar dalam usaha mendidik kanak-kanak autisme, namun saya bersyukur kerana dapat membuat perubahan dalam kehidupan mereka,” katanya.

Seorang lagi pegawai intervensi Pusat Autisme PDRM, Norasilawati Abdul Ghani, 30, berkata, dia bersama rakan tenaga pengajar yang lain sentiasa mencari kaedah yang kreatif untuk membantu mendidik kanak-kanak itu.

“Kami akan sentiasa mengadakan perbincangan untuk memberi kaedah yang terbaik serta kreatif dalam mendidik kanak-kanak autisme,” katanya.

Norasilawati berkata, pada peringkat awal pendaftaran kanak-kanak autisme itu, ibu bapa disarankan untuk memerhati bagaimana kaedah pegawai intervensi membantu mendidik kanak-kanak tersebut.

“Kami juga sentiasa mengingatkan ibu bapa supaya pendidikan itu diteruskan di rumah,” katanya.

Sementara itu, pakar terapi, Shahidah Abd Aziz, 26, berkata, dia memberi tumpuan kepada kemahiran, fungsi motor dan sifat fizikal kanak-kanak.

“Kami akan mengajar mereka dan memantau perkembangan mereka. Sebagai contoh, kami akan memberi tumpuan kepada latihan otot tangan sebelum mengajar kanak-kanak itu menulis,” katanya.

Shahidah memaklumkan Pusat Autisme PDRM itu menyediakan persekitaran yang kondusif untuk membantu mendidik kanak-kanak autisme.

Seorang ibu, Eva Aw, berkata, Pusat Autisme PDRM itu banyak membantu anak lelakinya yang berusia lapan tahun.

“Program intervensi awal di Pusat Autisme PDRM ini membantu anak saya berbanding kelas berkeperluan khas di sekolah.

“Di sini, anak saya dibantu dengan banyak kemahiran dan ia menyeronokkan baginya. Dia belajar dan boleh bermain juga,” katanya.

Aw memaklumkan dia berhenti kerja sebagai juruaudit untuk memberi tumpuan kepada dua anak autisme.

“Saya berhenti kerja supaya dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pendidikan anak-anak,” ujarnya.