Bayi maut di pusat asuhan: Polis nafi dakwaan siasat tidak telus

SEREMBAN - Polis menyangkal dakwaan tidak menjalankan siasatan secara telus berhubung kes seorang bayi berusia 15 bulan yang meninggal dunia ketika berada di pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan di sini bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, siasatan telah dilakukan secara menyeluruh termasuk menggunakan bantuan Jabatan Forensik.
"Polis jalankan siasatan bukan sahaja secara individu tetapi juga menggunakan bantuan forensik yang siasatannya lebih tepat.
"Siasatan kes itu sudah lengkap dan telah pun dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut. Apa arahan seterusnya saya tak dapat komen, kita tunggu saja," katanya ketika ditemui pada Sambutan Hari Polis Ke-215 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di sini pada Jumaat.