Pelajar meninggal dunia di asrama: Pemimpin politik desak siasatan segera dakwaan buli

SHAH ALAM - Pemimpin politik daripada pelbagai parti menggesa insiden seorang pelajar di Kuala Pilah yang dipercayai menjadi mangsa buli disiasat segera secara telus, selain tindakan tegas diambil sekiranya perkara itu terbukti.
Gesaan itu disuarakan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin serta Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Saifuddin Abdullah susulan kematian Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14.
Asyraf Wajdi menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu berkata, beliau sedih dan terkesan dengan berita kematian Allahyarham yang didakwa menjadi mangsa buli.
“Pagi ini amat sedih dan terkesan dengan berita kematian Allahyarham Muhammad Idlan Fareeq Shahril yang didakwa menjadi mangsa buli.
“Wajib disiasat segera, telus dan ambil tindakan tegas!” katanya.

Sementara itu, Mohd Radzi menerusi hantaran di aplikasi Threads menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan secara teliti dan telus berhubung dakwaan Allahyarham menjadi mangsa buli demi keadilan buat Allahyarham dan keluarganya.
“Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Muhammad Idlan Fareeq Shahril.
“Berhubung dakwaan bahawa Allahyarham menjadi mangsa buli, pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan dengan teliti demi keadilan buat Allahyarham dan keluarganya,” tegasnya.
ARTIKL BERKAITAN: Pelajar lelaki ditemui meninggal dunia di asrama sekolah dipercayai dibuli
Pelajar meninggal dunia di asrama: Fadhlina sahkan seorang pelajar ditahan
Pelajar meninggal dunia di asrama: Polis siasat kes bunuh, tahan remaja 16 tahun
Terdahulu, Saifuddin yang juga Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara berkata, kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak boleh melihat isu buli sebagai masalah disiplin biasa.
Beliau berkata, laporan mengenai kematian seorang pelajar di sebuah sekolah di Kuala Pilah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian dipukul amat mendukacitakan dan mengejutkan.
“Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa. Kehilangan seorang anak dalam keadaan sedemikian merupakan satu tragedi yang amat berat untuk ditanggung sesebuah keluarga,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, walaupun siasatan masih berjalan dan punca sebenar kematian perlu ditentukan pihak berkuasa, kejadian itu sekali lagi menimbulkan persoalan serius mengenai tahap keselamatan pelajar di sekolah.
“Apabila buli melibatkan keganasan fizikal sehingga mengakibatkan kecederaan parah atau kehilangan nyawa, ia mesti ditangani sebagai perkara yang serius dan memerlukan tindakan tegas,” katanya.
Muhammad Idlan Fareeq ditemukan tidak sedarkan diri di kawasan asrama sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) pada Jumaat malam.
Mangsa yang berasal dari Gemencheh itu merupakan anak sulung daripada tiga beradik dan pelajar tingkatan dua.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata kes masih dalam siasatan.
“Proses bedah siasat akan dijalankan di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

