Polis ubah corak penugasan sempena pembukaan sempadan

Kamarul Zaman memeriksa perbarisan kawalan kehormat sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 peringkat negeri di Dataran Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini. - Foto Bernama
Kamarul Zaman memeriksa perbarisan kawalan kehormat sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 peringkat negeri di Dataran Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor akan melakukan perubahan corak penugasan bagi menyesuaikan kaedah bekerja dalam usaha pencegahan dan pematuhan undang-undang ketika sempadan Malaysia-Singapura di negeri ini dibuka sepenuhnya pada 1 April ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, usaha itu juga selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk tahap pertambahan aliran trafik di negeri yang akan meningkat dengan kehadiran kenderaan daripada negara jiran berkenaan.

Beliau berkata, usaha itu juga akan dikukuhkan dengan kesediaan kesemua pegawai dan anggota polis Johor bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dapat dipatuhi sebaiknya oleh rakyat mahupun pengunjung dari Singapura.

"Seperti kita sedia maklum sempadan akan dibuka pada 1 April ini dan polis Johor telah membuat susulan dengan mengubah jadual tugasan dan keutamaan. Kita sudah ubah kalau dulu keutamaan kita hanya untuk memastikan orang awam mematuhi SOP.

"Tetapi cabaran kita kali ini adalah selain daripada memastikan pematuhan SOP sahaja, kita juga akan memastikan serta menyediakan pegawai dan anggota yang cukup bagi menjamin keselamatan Johor ketika sempadan mula dibuka.

"Kita maklum sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) orang ramai masuk, dari segi jalan raya, trafik juga akan kita ubah cara penugasan. Dulu tiada kenderaan yang banyak masuk ke Malaysia, sekarang mungkin berbeza jadi sudah tentu corak aliran trafik akan bertambah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir menyempurnakan Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 Peringkat Negeri Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini pada Jumaat.

Pada Khamis, Malaysia dan Singapura akhirnya bersetuju untuk membuka sempadan darat kedua-dua negara bagi pengembara yang lengkap status vaksinasinya sejajar dengan peralihan kehidupan fasa mendepani endemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Perkara itu diumumkan menerusi kenyataan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatnya di Singapura, Lee Hsien Loong selepas mengadakan panggilan telefon yang mana selepas ini pengunjung kedua-dua negara boleh merentas sempadan tanpa perlunya menjalani kuarantin.

Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, buat masa ini tiada penambahan pegawai atau anggota untuk penugasan bagi pembukaan semula sempadan antarabangsa berkenaan dan hanya mengekalkan jumlah petugas sedia ada.

"Anggota sama sahaja, kita gerakkan yang ada tetapi bagi SOP pula ia tetap sama, tiada kelonggaran dan kita ikut sahaja apa yang telah ditetapkan oleh Kemeterian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"(Bagi pengunjung Singapura) kita akan ikut SOP kita, kalau SOP berubah, baru ia juga akan berubah, jadi saya nasihatkan ikut sahaja SOP yang telah ditetapkan," katanya.