RUU Anti Lompat Parti dibentang 11 April

Wan Junaidi ketika hadir pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
Wan Junaidi ketika hadir pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti akan diadakan pada 11 April ini dalam satu sidang khas Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, perkara itu telah dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Ketua Majlis Parlimen berdasarkan Peraturan Mesyuarat 11(3) dan juga Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Katanya, Perdana Menteri juga bersetuju untuk melanjutkan persidangan khas itu sekiranya tempoh masa satu hari bagi membincangkan RUU berkenaan tidak mencukupi.

“Ahli-ahli Yang Berhormat jangan bimbang. Yang Amat Berhormat (Perdana Menteri) telah beri ‘assurance’ (jaminan) kepada saya untuk kita bentangkan RUU dan biar ahli-ahli Parlimen mahu buat keputusan sokong atau tidak mahu sokong.

“Yang Amat Berhormat pun cakap kalau tidak selesai dalam sehari, dua hari pun boleh. Kita tiada masalah berhubung dengan bulan puasa. Zaman dahulu, bulan puasa pun kita bersidang, sekarang sahaja kita tidak (bersidang),” katanya.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan, RUU Anti Lompat Parti bakal dibentang di Dewan Rakyat melalui satu Persidangan Khas pada bulan Ramadan ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata, perkara tersebut dimaklumkan oleh Perdana Menteri dalam mesyuarat bersama pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, agenda utama mesyuarat tersebut ialah berkenaan status pembentangan Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan untuk menghalang tindakan melompat parti dalam kalangan wakil rakyat yang merupakan salah satu syarat utama dalam MoU Persefahaman di antara kerajaan Persekutuan dan PH.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Wan Junaidi berkata, masih terdapat kekurangan input dalam sesi libat urus mengenai RUU berkenaan termasuk usul menghadkan jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal.