TMJ cadang rombak silibus pendidikan

Kenyataan Tunku Mahkota Johor dimuat naik dalam Facebook rasmi miliknya HRH Crown Prince of Johor.
Kenyataan Tunku Mahkota Johor dimuat naik dalam Facebook rasmi miliknya HRH Crown Prince of Johor.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tunku Ismail Sultan Ibrahim berpendapat, sudah tiba masanya untuk merombak silibus pendidikan di negara ini.

Menurut Tunku Mahkota Johor, ini kerana keadaan sudah berubah terutama selepas dilanda pandemik Covid-19.

"Pandemik Covid-19 telah menunjukkan bahawa menjadi celik teknologi dan keperluan untuk pendidikan berteraskan teknologi sangat penting.

"Belia kita perlu memiliki kemahiran yang mencerminkan keperluan dunia dinamik yang sentiasa berubah. Kita perlu merapatkan jurang antara kualiti graduan kita dengan tuntutan pasaran kerja.

"Untuk manfaat jangka panjang negeri Johor, kita perlu meneroka idea untuk memastikan belia kita serba lengkap dan terdidik bagi menyahut cabaran masa depan," katanya dalam kenyataan dikeluarkan unit Media dan Komunikasi Istana Bukit Pelangi pada Khamis.

Kenyataan Tunku Mahkota Johor itu turut dimuat naik dalam Facebook rasmi miliknya, HRH Crown Prince of Johor.

Tunku Ismail berkata, selain pengetahuan, negara juga memerlukan inisiatif dalam pembangunan sahsiah dan mendidik belia menjadi individu yang lebih berdaya saing, berkeyakinan dan berbelas kasihan.

"Belia Johor layak belajar daripada yang terbaik untuk berkembang dan menjadi individu dewasa yang berjaya," ujar Tunku Mahkota Johor.

Artikel Berkaitan:

Tunku Ismail akan terus memberi penekanan tentang kepentingan pendidikan untuk belia dan bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam mengorak langkah ke arah menambah baik sistem pendidikan di Johor.

"Akses kepada pendidikan merupakan perkara yang sentiasa dekat di hati saya. Individu dari semua peringkat umur tanpa mengira status atau latar belakang harus sentiasa mempunyai akses yang mudah kepada peluang pendidikan untuk mengembangkan kemahiran dan pengetahuan mereka.

"Adalah penting pendidikan berkualiti diberikan kepada rakyat khususnya golongan belia bagi membantu mereka dengan kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi cabaran hidup," ujar Tunku Ismail lagi.