Pelarian Rohingya perlu perhatian antarabangsa

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan Kamarudin turut mengetengahkan isu perjuangan rakyat Palestin, solidariti terhadap rakyat Afghanistan dan reformasi OIC.
Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan Kamarudin turut mengetengahkan isu perjuangan rakyat Palestin, solidariti terhadap rakyat Afghanistan dan reformasi OIC.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia semasa sesi ke-48 Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri (CFM) Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menegaskan isu pelarian Rohingya memerlukan perhatian dan bantuan berterusan daripada masyarakat antarabangsa.

Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra) di sini pada Khamis, hal itu diketengahkan Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar yang mengetuai delegasi Malaysia ke sesi CFM itu pada 22 hingga 23 Mac di Islamabad, Pakistan.

Isu Rohingya itu dinyatakan Kamarudin dalam kenyataan negara di Mesyuarat Jawatankuasa Sementara Mengenai Akauntabiliti Terhadap Pencabulan Hak Asasi Manusia ke atas Minoriti Rohingya.

Sebelum ini dilaporkan beratus ribu anggota kumpulan etnik Rohingya telah melarikan diri dari wilayah Rakhine di Myanmar akibat keganasan dengan sekitar 200,000 pelarian Rohingya berada di Malaysia.

Kenyataan itu menyebut selain menyentuh mengenai kepentingan tema CFM ke-48, Kamarudin turut mengetengahkan isu perjuangan rakyat Palestin, solidariti kemanusiaan terhadap rakyat Afghanistan dan reformasi OIC.

"Malaysia juga mengumumkan sumbangan AS$100,000 kepada Tabung Amanah Kemanusiaan yang ditubuhkan OIC pada 19 Disember 2021 bagi menyalurkan Bantuan Kemanusiaan kepada Afghanistan," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut dalam mesyuarat itu, timbalan menteri turut mengadakan pertemuan secara berasingan dengan beberapa pemimpin luar negara bagi membincangkan perkembangan hubungan dan kerjasama dua hala antara Malaysia dengan negara-negara itu serta bertukar-tukar pandangan dalam pelbagai isu antarabangsa.

"Pada hari kedua mesyuarat ini, YB Timbalan Menteri Luar Negeri bersama-sama Ketua-Ketua Delegasi CFM ke-48 yang lain telah menghadiri sambutan perbarisan sempena Hari Pakistan (Pakistan Day) sebagai tetamu Kerajaan Pakistan.

Artikel Berkaitan:

"Pakistan merupakan Pengerusi bagi Sesi Mesyuarat CFM Ke-48 yang bertemakan "Perkongsian untuk Perpaduan, Keadilan dan Pembangunan," kata kenyataan itu.

Mesyuarat CFM merupakan mesyuarat tahunan Menteri-Menteri Luar Negeri OIC untuk meneliti pembaharuan dalam melaksanakan keputusan-keputusan dan merangkumkan resolusi-resolusi OIC yang diterima pakai pada Sidang Kemuncak OIC dan mesyuarat-mesyuarat CFM sebelum ini. - Bernama