36 peratus kanak-kanak Malaysia terima vaksin Covid-19

Seramai 1,277,247 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun atau 36 peratus menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui PICKids setakat Rabu. Foto hiasan
Seramai 1,277,247 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun atau 36 peratus menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui PICKids setakat Rabu. Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 1,277,247 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun atau 36 peratus daripada keseluruhan populasi kumpulan berkenaan di negara ini telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat Rabu.

Menurut laman web CovidNow, untuk tempoh sama seramai 2,846,114 remaja berusia 12 hingga 17 tahun atau 91.5 peratus daripada populasi kumpulan itu telah melengkapkan vaksinasi, manakala 2,943,587 atau 94.6 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi dewasa pula, sejumlah 15,553,138 individu atau 66.1 peratus telah menerima dos penggalak Covid-19, 22,946,072 atau 97.5 peratus (lengkap vaksinasi) dan 23,222,133 atau 98.7 peratus (menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin).

Untuk vaksinasi harian, sebanyak 27,592 dos vaksin diberikan semalam meliputi 5,911 dos pertama, 1,373 (dos kedua) dan 20,308 (dos penggalak) menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 68,577,331.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 65 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan pada Rabu dengan Selangor tertinggi iaitu 12 kes, diikuti Perak (11), Johor (10), Melaka dan Pahang masing-masing melaporkan lima kes.

Selain itu, Kedah melaporkan empat kes, Negeri Sembilan, Sarawak, Sabah dan Kuala Lumpur masing-masing melaporkan tiga kes, Pulau Pinang (dua), manakala satu kes direkodkan masing-masing di Kelantan, Perlis, Terengganu dan Labuan. - Bernama

Artikel Berkaitan: