Kiandee bidas kenyataan lompat parti tak bermaruah

Dr Ronald Kiandee
Dr Ronald Kiandee
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee hari ini membidas dakwaan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menyifatkan anggota parlimen melompat parti sebagai tidak bermaruah dan tiada pegangan.

Menganggap dakwaan yang dikeluarkan itu hanyalah bersifat politik, Kiandee berkata, Bung Moktar sebenarnya telah maklum akan sejarah UMNO di Sabah yang terbentuk hasil daripada mereka yang turut beralih parti.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO yang dipimpin UMNO pada 1994, adalah mewarisi daripada mereka yang beralih parti daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) kepada UMNO dan menyokong BN sehingga terbentuk Kerajaan UMNO-BN pada 1994.

“Sebab itu bila diungkapkan kami tidak bermaruah, saya anggap itu kenyataan politik kerana (Ahli Parlimen) Kinabatangan faham bahawa UMNO juga bila dikatakan (ambil anggota) beralih parti, juga tidak bermaruah. UMNO juga pernah merangkumkan mereka yang beralih parti dalam kerajaan sehingga 2018,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Bung Moktar ketika membahaskan usul sama semalam berkata, golongan yang melompat parti dianggap tidak mempunyai perjuangan, tiada kekuatan selain tidak mempunyai maruah.

Kiandee turut tidak bersetuju dengan tanggapan bahawa rakyat akan menghukum mereka yang beralih parti pada pilihan raya umum akan datang sekiranya dicalonkan semula kerana sejarah di Sabah membuktikan mereka yang melompat parti masih dipilih rakyat di kawasan masing-masing. Malah, Kiandee yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 15 Mac lepas, mahu rakyat menilai sendiri tindakan penghijrahan ‘berjemaah’ bekas anggota UMNO Sabah.

“Kalau Beluran beralih parti secara berseorangan, mungkin boleh dilihat sebagai alasan peribadi, tetapi kalau berhijrah secara berkelompok, ia perlukan satu selaman jiwa, apakah punca sehingga berlakunya begitu ramai penghijrahan yang berlaku dalam kalangan ahli parti (UMNO) di Sabah dan hampir melumpuhkan badan perhubungan parti di negeri tersebut,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: