Lawatan PM ke Vietnam tingkat kerjasama diplomatik, ekonomi dan rakyat

Ismail Sabri (tengah) bersama Saifuddin (kiri) dan Mohamed Azmin (kanan) ketika sidang media bersama wartawan Malaysia bagi memaklumkan hasil lawatan kerja beliau selama dua hari ke Vietnam pada Selasa.
Ismail Sabri (tengah) bersama Saifuddin (kiri) dan Mohamed Azmin (kanan) ketika sidang media bersama wartawan Malaysia bagi memaklumkan hasil lawatan kerja beliau selama dua hari ke Vietnam pada Selasa.
A
A
A

HANOI - Lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Vietnam bukan sahaja dapat mempertingkatkan kerjasama dua hala hubungan diplomatik dan ekonomi, tetapi juga hubungan rakyat kedua-dua negara.

Ismail Sabri berkata, tujuan lawatan itu antaranya untuk meningkatkan hubungan Malaysia dan Vietnam seiring dengan sambutan Jubli Emas, iaitu ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara pada 2023.

Sebagai memperingati detik bersejarah itu, Perdana Menteri mencadangkan supaya kedua-dua negara menganjurkan program bersesuaian dan pertukaran lawatan peringkat tertinggi yang akan dimulai dengan Lawatan Negara Presiden Vietnam, Nguyen Xuan Phuc ke Malaysia, dalam tahun ini.

Semasa pertemuan dan perbincangan dengan empat pemimpin Vietnam, Ismail Sabri berkata jelas sekali mereka, seperti juga Malaysia, sangat komited untuk terus melaksanakan kerjasama yang terangkum dan komprehensif di bawah Pelan Tindakan (POA) 2021-2025 Pelaksanaan Perkongsian Strategik Malaysia-Vietnam.

Bagi meningkatkan aktiviti pelancongan dalam kerjasama pasca pandemik COVID-19, Malaysia bersetuju mengiktiraf sijil vaksinasi Vietnam selepas mengambil kira bahawa negara itu turut menggunakan jenis-jenis vaksin diluluskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Vietnam telah pun mengiktiraf sijil vaksinasi Malaysia pada Ogos 2021.

Semasa lawatan itu, Ismail Sabri mencadangkan supaya kedua-dua negara memuktamadkan proses integrasi aplikasi MySejahtera Malaysia dengan PC COVID Vietnam yang akan memudahkan perjalanan rakyat kedua-dua negara terutama yang melibatkan prosedur di pintu masuk kedua-dua negara.

Lawatan rasmi Perdana Menteri dan delegasi Malaysia juga berjaya membawa berita gembira kepada negara selepas Vietnam mengemukakan permintaan untuk mendapatkan bekalan petroleum dan gas tambahan dari Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Malaysia bersetuju pada peringkat permulaan untuk membekalkan 300,000 tong petroleum (RON95) kepada Vietnam.

Selain itu, Malaysia juga sedia menawarkan kepakaran dan khidmat nasihat kepada Vietnam, termasuk syarikat-syarikat Vietnam yang menyatakan minat untuk meningkatkan kerjasama dengan Malaysia dalam membangunkan industri halal mereka.

Secara spesifiknya Perdana Menteri membangkitkan potensi kerjasama halal dengan Vietnam terutamanya dalam peluang untuk membekalkan makanan halal semasa Sukan SEA 2021 yang akan dihoskan oleh Vietnam pada Mei ini dan kesediaan Malaysia menawarkan produk-produk perbankan Islam dalam kerjsama membantu mengembangkan ekosistem industri halal di Vietnam.

Bagi kerjasama perdagangan, kedua-dua negara turut bersetuju untuk menetapkan sasaran lebih tinggi yang mana sebelum ini, Malaysia-Vietnam menetapkan sasaran nilai dagangan AS$18 bilion menjelang 2025.

Isu pencerobohan nelayan Vietnam di perairan Malaysia yang sekian lama masih belum selesai turut dibangkitkan dengan Malaysia telah meminta Vietnam untuk mengambil tindakan konkrit segera supaya perkara itu dapat diselesaikan.

Ini kerana, menurut Perdana Menteri isu berkenaan semakin membimbangkan kerana sejak kebelakangan ini, nelayan Vietnam bukan sahaja menceroboh, malah ada yang bertindak agresif dan provokatif terhadap penguat kuasa maritim dan nelayan Malaysia dalam perairan negara.

Lawatan itu juga menyaksikan kedua-dua negara memeterai empat dokumen iaitu memorandum persefahaman (MOU) Kerjasama dalam Aktiviti Perundangan berkenaan pertukaran pengalaman dan amalan terbaik dalam bidang perundangan, kerjasama peringkat serantau dan antarabangsa dan pembaharuan MOU Pengambilan, Penggajian dan Repatriasi Pekerja yang telah tamat tempoh pada 2020, berkenaan prosedur pengambilan pekerja dari Vietnam.

Dua lagi ialah Surat Niat mengenai kerjasama dalam latihan diplomatik bagi mewujudkan kerjasama dalam latihan diplomat Malaysia dan Vietnam di antara Insititut Diplomasi dan Hal Ehwal Luar Negeri (IDHL) dan Akademi Diplomatik Vietnam (DAV) dan Perjanjian Profesional antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Agensi Berita Vietnam (VNA) iaitu kerjasama dalam pertukaran berita dan berita infografik selain perkongsian pengalaman serta amalan terbaik di antara agensi berita nasional kedua-dua negara.

Bercakap kepada kumpulan media Malaysia di sini semalam selepas mengakhiri lawatan rasmi dua hari di Vietnam, Ismail Sabri berkata, lawatan itu bukan sahaja dapat mempertingkatkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara, malah hubungan antara "perniagaan ke perniagaan” dan lebih penting hubungan rakyat dengan rakyat.

"Jadi saya percaya lawatan ini tentu sahaja akan meningkatkan hubungan antara Malaysia dan Vietnam,” kata Ismail Sabri.

Kunjungan sulung Perdana Menteri ke Vietnam adalah atas undangan rakan sejawatnya dari Vietnam Pham Minh Chinh.

Pada Isnin, Perdana Menteri disambut dengan hamparan permaidani merah dan diberikan sambutan rasmi sebaik tiba di perkarangan Istana Presiden dan ketibaan beliau disambut oleh rakan sejawatnya Chinh.

Hari sama juga Perdana Menteri dan delegasi Malaysia mengadakan kunjungan hormat ke atas Phuc di Istana Presiden diikuti kunjungan hormat ke atas Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam (CPV) Nguyen Phu Trong, di Ibu pejabat CPV dan Pengerusi Dewan Rakyat Vuong Dinh Hue, di Bangunan Dewan Rakyat di sini.

Dalam semua pertemuan itu, Ismail Sabri menggunakan sepenuhnya bahasa kebangsaan yang kemudiannya diterjemah ke dalam bahasa Inggeris.

Lawatan itu turut disertai Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan pegawai-pegawai kanan. - Bernama