PM ada prerogatif buat pengumuman di mana-mana

Mastura Mohd Yazid
Mastura Mohd Yazid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri mempunyai hak prerogatif untuk mengumumkan sebarang keputusan atau dasar kerajaan di mana-mana platform disertainya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid berkata, hak tersebut turut terpakai ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 Mei ini ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 baru-baru ini.

"Mengenai hal-hal berkaitan pengumuman di PAU, Perdana Menteri mempunyai prerogatif untuk mengumumkan apa sahaja, di mana-mana forum yang beliau rasa sesuai.

"Semestinya beliau juga telah mengumumkan banyak perkara mengenai peralihan ini ketika beliau membuat sidang media, (dan) ketika mengumumkan fasa tersebut (peralihan fasa endemik)," katanya pada persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang mempersoalkan tindakan Ismail Sabri yang mengumumkan perubahan dasar kerajaan ketika perhimpunan parti politik.

Guan Eng turut bertanya sama ada kerajaan menerima cadangan yang dibuat Majlis Pemulihan Negara (MPN) berhubung pembukaan semula sempadan serta sama ada langkah semasa gagal menyekat penularan Covid-19.

Mastura berkata, pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN), termasuk fasa peralihan ke endemik bermula 1 April ini diputuskan berdasarkan penilaian risiko kesihatan awam dan kapasiti hospital.

Katanya, keputusan membuka semula sempadan negara dibuat berlandaskan tiga perkara asas, antaranya berpandukan sains dan fakta terkini berkaitan Covid-19 serta membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara lain.

Artikel Berkaitan:

"Keputusan ini juga memberi keselesaan kepada pengembara dan tidak merumitkan perjalanan mereka. Paling penting, Malaysia adalah destinasi terbuka dan boleh dikunjungi semua.

"Kerajaan juga akan mengeluarkan senarai prosedur operasi standard (SOP) pembukaan sempadan secara terperinci dalam waktu terdekat, terutama berhubung prosedur di pintu masuk antarabangsa di darat dan laut," jelasnya.