Datuk Adly didenda RM3 juta, lucut hak RM5 juta

Adly (kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada September tahun lalu atas 69 pertuduhan berhubung sindiket kartel penipuan projek-projek kerajaan bermula tiga tahun lalu. Foto: Sinar Harian/Rosli Talib
Adly (kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada September tahun lalu atas 69 pertuduhan berhubung sindiket kartel penipuan projek-projek kerajaan bermula tiga tahun lalu. Foto: Sinar Harian/Rosli Talib
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa menjatuhi hukuman denda RM3 juta dan melucut lebih RM5 juta harta terhadap seorang pengarah syarikat bergelar Datuk kerana menggunakan dokumen palsu berhubung dua projek di Jabatan Kerja Raya (JKR) tahun lalu.

Adly Kamarudin, 48, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas 10 pertuduhan pilihan yang dibaca di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan curangnya menggunakan dokumen Surat Setuju Terima (SST) dan Borang A KWSP yang palsu sebagai tulen.

Berdasarkan dokumen palsu tersebut, Lambaian Fajar Sdn Bhd dan KSB Global Sdn Bhd iaitu syarikat di bawah kendalian tertuduh telah dipilih kerana kelayakan serta pengalaman bagi melaksanakan dua projek di sebuah JKR.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kesalahan didakwa itu dilakukan di sebuah rumah banglo di Bandar Baru Bangi bermula Jun 2019 hingga September 2020.

Dalam pada itu, mahkamah turut melucutkan hak harta tertuduh sebanyak RM 5,014,633.24 di bawah Seksyen 45(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 serta diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat manakala tertuduh diwakili peguam Md Yunos Shariff.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Noralis berkata, tertuduh sebelum ini dituduh dengan 69 pertuduhan asal namun, Jabatan Peguam Negara bersetuju setelah pihak pembelaan mengemukakan representasi dan menawarkan pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dengan hukuman di bawah Seksyen 465 kanun sama.

Tertuduh mengaku bersalah terhadap 10 pertuduhan pilihan tersebut dan mahkamah telah menjatuhkan hukuman dengan 'take into consideration' (TIC) bagi 59 pertuduhan yang lain di bawah Seksyen 171A Kanun Acara Jenayah.

Pada 1 September tahun lalu, Sinar Harian melaporkan, Adly berdepan hukuman penjara sehingga 483 tahun apabila dia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas 69 pertuduhan memalsukan dokumen berhubung sindiket kartel penipuan projek-projek kerajaan bermula tiga tahun lalu.