SPRM tidak 'double standard' kepada sesiapa

Mas Ermieyati
Mas Ermieyati
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mengamalkan 'double standard' dalam siasatan dan pendakwaan terhadap mana-mana pihak.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, setiap pendakwaan yang dijalankan adalah berdasarkan keterangan serta bukti kukuh dan mencukupi.

"SPRM tidak pernah membezakan satu pihak dengan yang lain dan tidak ada isu 'double standard' atau perkara yang boleh melibatkan pendakwaan ataupun tiada pendakwaan.

"Setiap pendakwaan yang dijalankan adalah berdasarkan keterangan kukuh serta bukti mencukupi," katanya di Dewan Rakyat, pada Selasa sebagai respon terhadap kenyataan Steven Choong Shiau Yoon (PSM-Tebrau) yang menyatakan terdapat kes-kes berprofil tinggi diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Sementara itu menjawab soalan tambahan Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai), Mas Ermieyati memaklumkan, SPRM dipantau oleh lima panel bebas bagi memastikan semak dan imbang serta ketelusannya sejak 2009.

Kata Mas Ermieyati, ia turut melibatkan kes Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berhubung isu pemilikan saham yang disiasat oleh panel penasihat dan jawatankuasa aduan di samping siasatan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Telah mendapat laporan, dan siasatan telah dijalankan berkenaan peraturan dan undang-undang pemilikan saham oleh SSM berkenaan kes KP (Ketua Pesuruhjaya) SPRM (Azam) dan siasatan telah selesai.

"SSM mendapati tiada kesalahan berkenaan saham yang didaftarkan atas nama beliau pada tahun 2015 dan 2016 berdasarkan semua dokumen semasa siasatan.

Artikel Berkaitan:

"PDRM pula difahamkan sedang menjalankan siasatan sebagaimana jawapan yang telah diberikan oleh Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hamzah Zainudin) pada 7 Mac lalu," kata beliau.