Hasil getah kurang, pokok diserang LDP

 Azman
Azman
A
A
A

ALOR SETAR - Kira-kira 329.69 hektar kawasan penanaman getah di Kedah diserang penyakit luruhan daun pada pokok getah atau pestalotiopsis (LDP) pada 2020 hingga menyebabkan pengeluaran hasil menurun.

Exco Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Kedah, Azman Nasrudin berkata, serangan penyakit itu mula dikesan di Labis dan Kluang, Johor pada 2017.

"Penyakit itu mengakibatkan susu berkurangan," katanya menjawab soalan lisan Mohd Isa Shafie (Belantek-Pas) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Selasa

Menurut beliau, peladang digalakkan memastikan tanaman getah sentiasa dalam keadaan sihat dengan mengamalkan amalan pertanian, kawalan penyakit dan makhluk perosak mengikut kaedah disyorkan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk mengurangkan risiko dan kesan serangan itu.

"Bagi tanaman getah yang terkena serangan, serangan boleh dikawal dan kesan serangan boleh diminimumkan dengan melakukan semburan racun kulat dengan kekerapan antara tiga hingga enam kali pusingan semburan dengan selang selama seminggu antara semburan,"katanya.

Tambah beliau, LGM juga telah menyediakan satu dokumen monograf menerangkan simptom dan langkah pencegahan penyakit selain latihan kepada agensi berkaitan.

"Jawatankuasa Pestalotiopsis juga telah ditubuhkan pada 2020 bagi menangani masalah ini.

"Bancian kewujudan penyebaran kesan serangan dimulakan pada tahun sama sehingga kini dengan melibatkan semua agensi berkaitan.

Artikel Berkaitan:

"LGM turut terlibat menjalankan bancian ke atas tanaman getah milik pekebun kecil, individu yang yang bukan di bawah naungan mana-mana agensi seperti Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda). Tinjauan dengan kaedah 'remote sensing' juga sedang dibuat," katanya.