TLDM, TNI-AL laksana rondaan bersama di Selat Melaka

Lambaian persahabatan warga KD Jerai kepada KRI SILEA di perairan Selat Melaka.
Lambaian persahabatan warga KD Jerai kepada KRI SILEA di perairan Selat Melaka.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersama Tentera Nasional Indonesia - Angkatan Laut (TNI-AL) melaksanakan rondaan bersama di perairan Selat Melaka dalam Operasi Patkor Malindo bermula 17 hingga 31 Mac ini.

Menurut kenyataan TLDM pada Selasa, operasi gabungan kerjasama itu bagi memperkasakan rondaan penguatkuasaan perundangan maritim di perairan kedua-dua negara dalam usaha memastikan kedaulatan perairan Selat Melaka kekal selamat dan terpelihara.

"Operasi ini juga merupakan rondaan koordinasi bersama kedua buah negara yang telah terlaksana sejak termeterainya 'Prevention of Sea Incident Cooperative Guidelines' (Malindo INCSEA) pada 18 Januari 2001.

"Operasi pada kali ini memperlihatkan komitmen jitu dipamerkan dari kedua angkatan laut menerusi penglibatan aset TLDM iaitu KD Teguh Samudera dan KD Jerai, manakala TNI-AL menugaskan KRI LEPU dan KRI SILEA," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, penugasan rondaan di laut bagi aset yang terlibat dilaksanakan mulai 19 Mac hingga 29 Mac ini dalam memupuk kesepaduan dan kesefahaman bersama mengenai kepentingan pemeliharaan tahap keselamatan perairan Selat Melaka di samping mengukuhkan keyakinan komuniti maritim.

"Kerjasama erat antara kedua negara akan terus disuburkan dalam memastikan perairan Selat Melaka sentiasa bebas daripada sebarang ancaman aktiviti rentas sempadan, pemerdagangan manusia, penyeludupan, mahupun rompakan di laut.

"TLDM akan sentiasa memanfaatkan peluang untuk beroperasi bersama angkatan laut sahabat dalam melindungi keselamatan maritim negara," kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan: