Limpahan air Sungai Pegalan sebabkan banjir di Tenom

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TENOM - [DIKEMAS KINI] Empat mangsa sekeluarga dari Kampung Kalangkanar di sini dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air berikutan limpahan air daripada Sungai Pegalan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tenom, Zainal Sinsian berkata, mangsa terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan itu ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Rumah Kebudayaan Kampung Kalangkanar di sini.

"Kami terima panggilan daripada mangsa 3.56 petang tadi dan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi memindahkan mangsa.

"Limpahan air Sungai Pegalan disebabkan hujan daripada hulu sungai sehingga menyebabkan banjir di kawasan tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Beliau berkata, rumah mangsa dinaiki air disebabkan ia dibina berhampiran dengan sungai berkenaan dan mangsa memohon untuk dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.

"Kita turut dibantu oleh Angkatan Pertahanan Awam dan polis dan kini pemantauan sedang dijalankan," katanya.

Zainal juga berkata, 17 lagi mangsa yang terdiri daripada 14 lelaki dan tiga perempuan dipindahkan ke Rumah Kebudayaan Kampung Kalangkanar di sini malam ini.

"Pasukan bomba bersama agensi APM dan polis menjalankan operasi pemindahan mangsa manakala pemantauan berterusan di kawasan terlibat akan terus dijalankan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Di BEAUFORT, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort, Hasbullah Nenggok berkata, pihaknya memindahkan penduduk Kampung Suasa setelah kawasan itu dilanda banjir pada lewat petang akibat hujan berterusan.

"Operasi pemindahan mangsa sedang dijalankan dan jumlah mangsa belum diperoleh. Terdapat satu PPS telah dibuka setakat ini iaitu PPS Dewan Datuk Mohd Dun Banir,” katanya ketika dihubungi pemberita malam Isnin.

Jabatan Meteorologi Malaysia pula mengeluarkan amaran ribut petir hingga 1 pagi esok di beberapa kawasan pantai barat Sabah iaitu Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Ranau serta di pantai timur negeri itu di Tongod.

"Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam. Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya. - Bernama