Tiada lesen pengeluaran kayu balak, kuari di Gunung Raya

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Tiada lesen pengeluaran kayu balak atau kuari pasir dikeluarkan di Hutan Simpan Gunung Raya di Langkawi seperti didakwa sesetengah pihak.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, laporan terbabit dimaklumkan oleh Jabatan Perhutanan Kedah di mana hanya terdapat kelulusan yang diberikan pada April 2020.

Menurutnya, dua kelulusan terbabit diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa hasil bumi bertarikh 23 April 2020 berkaitan pengeluaran pasir darat dan kuari kepada Yiked di kompartmen 11 dan 12 hutan berkenaan.

“Dulu memang ada kelulusan sebanyak 40 hektar tetapi dikecilkan kepada 19 hektar, perkara itu diputuskan dalam mesuarat Exco ketika itu (2020),” katanya pada sidang akhbar selepas perbahasan usul menjunjung kasih Titah Ucapan Tuanku Sultan Kedah di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Isnin.

Beliau mengulas dakwaan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jitra-Pejuang) yang membangkitkan surat berkaitan tawaran daripada kerajaan negeri kepada sebuah syarikat swasta bagi pengeluaran kayu balak atau kuari pasir di Hutan Simpan Gunung Raya, Langkawi pada sesi perbahasan.

Secara berseloroh, Muhammad Sanusi ibaratkan perbuatan Mukhriz itu umpama ‘melibas bola takraw masuk ke gelanggang sendiri’.

“Saya dulu main takraw posisi tekong di sekolah menengah dan 'killer' di universiti tetapi bergantung kepada 'feeder',.

"Kalau lambung bola dekat jaring saya lipat menjunam, kalau tengah sikit saya kena lompat tinggi dan panjangkan libasan supaya masuk gelanggang lawan.

Artikel Berkaitan:

“Jadi surat yang dipetik itu ibarat libasan yang masuk dalam gelanggang sendiri sebab 'feeder' tak pandai angkat jauh sangat,” katanya sinis.