DAP jangan main politik ugut: Annuar

Annuar
Annuar
A
A
A

PASIR MAS - DAP diingatkan supaya tidak bermain politik berbaur ugutan untuk menamatkan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan kerajaan sekiranya rang undang-undang (RUU) anti lompat parti tidak diluluskan.

Annuar yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Rundingan dan Pelaksana MoU itu berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengemudi kerajaan ketika ini tidak akan tunduk kepada ugutan daripada mana-mana parti politik mengenai perkara tersebut.

"Sebagai contoh semalam, pemimpin DAP yang merupakan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng kata nak tamatkan MoU antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) jika RUU Perlembagaan (Pindaan) 2022 berhubung anti lompat parti tidak diluluskan di Parlimen.

"Saya ingin jelaskan, MoU yang dimeterai berdasarkan komitmen dan keikhlasan tapi kalau DAP cuba mengugut, saya ingin tegaskan kerajaan tidak akan tunduk dengan mana-mana ugutan," katanya selepas menyampaikan bantuan sumbangan banjir kepada 150 penduduk di Kampung Serongga, Repek, di sini pada Isnin.

Menurutnya, banyak perkara yang perlu dilihat mengenai RUU berkaitan anti lompat parti terutama dari segi perlembagaan, takrifan lompat parti dan persetujuan daripada semua parti politik.

Beliau berkata, dalam laporan terbaharu daripada Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan bahawa beliau telah membuat rundingan awal dengan beberapa parti politik berhubung perkara tersebut.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM) berkata, malah ada yang meminta supaya mengambil masa sedikit untuk melakukan perbincangan dengan ahlinya berkait RUU itu.

"Jadi bagi saya tidak timbul soal lulus atau tidak. Untuk makluman sehingga kini 80 peratus perkara dalam MoU itu telah dan sedang dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, terdapat beberapa perkara sahaja lagi seperti cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri dan undang-undang berkaitan anti lompat parti yang belum dilaksanakan selebihnya dalam proses pelaksanaan dan berjalan dengan baik," katanya.

Ahli Parlimen Ketereh itu menasihatkan DAP supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat seolah-seolah tidak ada persefahaman antara kerajaan dan parti pembangkang.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan Guan Eng berkata, MoU antara PH dengan kerajaan akan ditamatkan jika rang undang-undang (RUU) anti lompat parti tidak diluluskan.

Menurut Guan Eng, RUU itu sepatutnya diluluskan pada Mac seperti mana yang dijanjikan menerusi MoU berkenaan.