Kejatuhan UMNO akan ganggu kestabilan politik - Ilham Centre

Gambar hiasan. Gambar kecil: Mujibu Abd Muis
Gambar hiasan. Gambar kecil: Mujibu Abd Muis
A
A
A

SHAH ALAM - Kejatuhan UMNO ketika ini jika tidak ditangani segera dikhuatiri akan mengganggu kestabilan politik untuk jangka masa panjang.

Felo Penyelidik Ilham Centre, Mujibu Abd Muis berkata, sebagai sebuah institusi orang Melayu, kejatuhan UMNO itu akan memberi kesan domino kepada politik negara.

"Dalam konteks Malaysia sebagai negara berbilang kaum yang mana majoritinya adalah Melayu, kalau mereka berpecah maka ia akan mengganggu kestabilan politik untuk jangka masa panjang.

"Cuma persoalannya adakah dengan menukar presiden parti itu akan menyelesaikan masalah sedangkan permasalahan UMNO ini sudah terlalu sistemik (sesuatu yang tertanam di dalam sistem)," soalnya.

Mujibu berkata demikian ketika membentangkan hasil kajian 'Merawat Melayu: UMNO Perlu Bagaimana' pada Wacana Pasca Pilihan Raya Umum Negeri Ke-15 bertajuk 'PRN 6 Negeri: Apa Telah Terjadi' yang disiarkan di Facebook Ilham Centre pada Jumaat.

Sementara itu pada sesi soal jawab, beliau menegaskan, peletakan jawatan Presiden UMNO mungkin hanya akan menyelesaikan masalah parti itu bagi jangka masa pendek, namun untuk jangka masa panjang ia memerlukan perubahan UMNO secara besar-besaran.

"Untuk jangka masa pendek iya, kita boleh katakan mungkin selesai dari sudut keyakinan dan beri persepsi bahawa UMNO akan berubah kerana beri respons kepada kekalahan itu.

"Sebab dalam keadaan semasa bila kita turun di lapangan, orang UMNO kata beliau (presiden) kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan kalah pula dalam PRN apabila BN hanya menang 19 daripada 108 kerusi, maka sepatutnya letak jawatan.

"Tapi itu tidak akan menyelesaikan masalah UMNO secara jangka panjang kerana masalahnya sistemik yang bermula dari atas hingga bawah," ulasnya.

Tegas beliau, perubahan UMNO secara besar-besaran bukan sekadar kepada kepimpinan tetapi dari sudut hala tuju dan falsafahnya perlu seiring dengan keadaan semasa.