Kerajaan sasar defisit fiskal lebih rendah tahun ini

Mohd Shahar
Mohd Shahar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan menyasarkan defisit fiskal lebih rendah pada paras enam peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, kerajaan turut mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun 2022 antara 5.5 dan 6.5 peratus.

“Unjuran tersebut selari dengan unjuran terkini oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia masing-masing pada 5.7 dan 5.8 peratus.

"Pada masa ini, kerajaan mengguna pakai Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana (MTFF) sebagai panduan dalam menggubal strategi ke arah konsolidasi fiskal jangka sederhana (tiga hingga lima tahun) yang selari dengan pelan pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

"Di samping itu, penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) dijangka dapat mengukuhkan tadbir urus, ketelusan, pengurusan kewangan awam dan disiplin fiskal," katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang ingin mengetahui data-data terkini pertumbuhan ekonomi negara, keadaan fiskal, hutang kerajaan serta kaedah mengurangkan defisit dan hutang, serta menambah peluang pekerjaan dan pendapatan rakyat.

Sementara itu Mohd Shahar memaklumkan, hutang keseluruhan kerajaan berjumlah RM979.8 bilion atau 63.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga akhir Disember 2021, manakala nisbah hutang statutori yang merangkumi instrumen Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) mencatatkan 59.7 peratus daripada KDNK.

Dalam pada itu beliau berkata, penyediaan nilai pengeluaran berjumlah RM63 bilion Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memberi kesan terhadap kemampuan pelaburan KWSP dalam jangka masa pendek.

Artikel Berkaitan:

"KWSP akan mengimbangi semula portfolio bagi mengurangkan kesan kepada prestasi pelaburan dan sentiasa komited untuk memastikan dana persaraan ahlinya terjamin.

"Keputusan kerajaan untuk membenarkan pengeluaran RM10,000 secara ‘one-off’ akan memberi manfaat kepada 6.3 juta ahli. Ini bermakna sebanyak RM63 bilion ringgit akan disalurkan. Sudah pasti kuasa membeli rakyat akan meningkat dan memberi kesan langsung kepada ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) mengenai kesan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000.