Sesi persekolahan bermula hari ini, SOP dilaksana secara maksimum

Murid-murid Sekolah Kebangsaan Shah Alam, Seksyen 16 beratur untuk pemeriksaan suhu badan sebelum masuk ke dalam kelas ketika tinjauan hari pertama sesi persekolahan bagi tahun 2022/2023 yang bermula pada Isnin. - Foto Bernama
Murid-murid Sekolah Kebangsaan Shah Alam, Seksyen 16 beratur untuk pemeriksaan suhu badan sebelum masuk ke dalam kelas ketika tinjauan hari pertama sesi persekolahan bagi tahun 2022/2023 yang bermula pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sesi persekolahan 2022/2023 yang bermula pada Isnin semestinya dinanti-nantikan bukan sahaja oleh ibu bapa, malah anak-anak juga teruja untuk memulakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara fizikal selain dapat bertemu rakan-rakan sekolah.

Tinjauan mendapati kebanyakan sekolah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) ketat kepada ibu bapa dan murid antaranya penjarakan fizikal dan penggunaan cecair sanitasi untuk membersihkan tangan sebelum memasuki kelas bagi mengekang penularan Covid-19.

Di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Utama Damansara 4 di sini, ibu bapa hanya dibenarkan menghantar anak-anak hingga ke pintu pagar seperti SOP yang ditetapkan pihak sekolah.

Hany Zainal, 35, ketika ditemui selepas menghantar anaknya, Shakur Zeyn Shahrir, 7, berkata beliau berpuas hati dengan SOP yang dilaksanakan di sekolah berkenaan bagi memastikan keselamatan murid.

Di Melaka, Exco Pendidikan dan Teknologi negeri, Datuk Rais Yasin memaklumkan 149,378 murid sekolah rendah dan menengah melibatkan 315 sekolah memulakan sesi persekolahan pada Isnin

Beliau berkata, daripada jumlah itu seramai 84,619 orang adalah murid sekolah rendah manakala 64,759 lagi merupakan pelajar sekolah menengah.

Artikel Berkaitan:

"Pada hari ini, 238 sekolah rendah dan 77 sekolah menengah di Melaka memulakan sesi persekolahan dan sekolah yang mempunyai lebih 600 murid akan melaksanakan sistem penggiliran kehadiran murid ke sekolah.

"Sistem penggiliran ini akan melibatkan murid Tahun Tiga, Empat dan Lima bagi memastikan SOP dilaksanakan secara berkesan," katanya kepada pemberita di luar pekarangan SK Paya Rumput.

Di Johor Bahru, tinjauan di SK (P) Sultan Ibrahim mendapati murid hadir seawal jam 6.30 pagi dan mereka diberikan pelitup muka percuma serta disambut maskot Mickey Mouse sekali gus menggamit suasana ceria pada hari pertama persekolahan di sekolah itu.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Mohd Hyffny Isa berkata, tiada ibu bapa yang memaklumkan kerisauan mereka, malah semua guru di sekolah itu sudah mengambil vaksin dan dos penggalak Covid-19.

Di Selangor, seorang ibu turut berkongsi kegembiraan anaknya, Wan Alesha Medina Wan Fathi Amir, murid Tahun Satu SK Bukit Kemuning 2, Shah Alam untuk memulakan sesi persekolahan.

"Dia memang seorang sangat peramah dan suka berkawan, saya tidak risau dan percaya Medina (Wan Alesha Medina) boleh membiasakan dirinya,” kata Nurul Aida Shahrol, 37.

Di Perak, Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin melakukan tinjauan pengoperasian hari pertama di SK Pakatan Jaya, Ipoh bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Radzi turut beramah mesra bersama murid di sekolah itu yang bersemangat mengikuti sesi persekolahan secara bersemuka dengan berpakaian serba baharu.

Beliau kemudian melakukan tinjauan di SK Syed Idrus Kampung Kuang Hilir, Chemor, Ipoh.

Di Kelantan, Rosmalaili Abdul Rahman, 44, berkata, dia yakin dengan kemampuan pihak sekolah termasuk kawalan daripada guru-guru untuk memantau pelajar berdasarkan SOP yang ditetapkan.

"Tindakan kerajaan mengumumkan pembukaan semula sekolah bagi mereka yang tertangguh sebelum ini satu tindakan wajar, bahkan negara kita juga sedang beralih ke fasa endemik. Jadi, kita kena bersedia dengan situasi ini,” katanya selepas menghantar anaknya, Ahya Deena Asmazawawi, 11, di Sekolah Rendah Agama Tengku Amalin A'Ishah Putri, Kota Bharu.

Di Pulau Pinang, tinjauan di SK Permatang Bertam, Kepala Batas mendapati ibu bapa menghantar anak ke sekolah menggunakan konsep 'pandu lalu' yang merupakan SOP sekolah itu.

Murid-murid juga dikehendaki beratur bagi menjalani pemeriksaan suhu badan dan menggunakan cecair sanitasi tangan sebelum memasuki kelas masing-masing.

Di Terengganu, Exco Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, seramai 21,287 murid Tahun Satu dan 21,196 pelajar Tingkatan Satu memulakan sesi persekolahan pada Isnin.

Beliau berkata, semua sekolah yang terjejas banjir pada akhir bulan lalu juga sudah dibersihkan dan beroperasi seperti biasa.

Di Pahang, seramai 255,251 pelajar sekolah rendah dan menengah kembali ke sekolah pada Isnin merangkumi 150,607 murid sekolah rendah termasuk 23,036 murid Tahun Satu, manakala bakinya pelajar sekolah menengah.

Secara keseluruhan terdapat 542 sekolah rendah dan 198 sekolah menengah di Pahang.

Sementara itu, pekerja swasta, Faizal Ahmad, 39, berkata, pengalaman menghantar anak bongsunya, Puteri Adzra Firzanisa memasuki Tahun Satu di SK (LKTP) Bukit Goh, Kuantan begitu berbeza dengan pengalaman anak sebelum ini kerana tidak boleh menghantar anaknya ke kelas disebabkan SOP, namun berpuas hati apabila menerima gambar anak yang dihantar oleh guru melalui kumpulan WhatsApp.

Di Perlis, Pengarah Pendidikan negeri, Naharudeen Othman berkata, 64 sekolah rendah mencatatkan kehadiran penuh pada Isnin dengan hanya 10 sekolah melakukan sesi persekolahan penggiliran berikutan bilangan murid melebihi 600 orang.

Di Kota Kinabali, Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Dr Mistirine Radin berkata, seramai 505,439 pelajar memulakan sesi persekolahan pada Isnin membabitkan 1,071 sekolah rendah dan 221 sekolah menengah di seluruh Sabah.

Katanya, jumlah itu merangkumi 313,697 murid sekolah rendah dan 191,742 pelajar sekolah menengah, selain 22,950 pelajar turut memulakan sesi persekolahan di 477 sekolah swasta di seluruh Sabah.

Di Negeri Sembilan, sesi persekolahan melibatkan 190,602 pelajar merangkumi 106,139 murid sekolah rendah dan 84,463 pelajar sekolah menengah membabitkan enam Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) termasuk Seremban, Rembau dan Tampin.

Di Kedah, tinjauan di beberapa sekolah di sekitar Alor Setar mendapati rata-rata murid bersemangat untuk memulakan sesi persekolahan terutama murid Tahun Satu.

Mashitah Abu Bakar, 63, berkata. dia menghantar cucunya, Aufia Medina Nasir, 7, ke SK Buluh Lima kerana kedua ibu bapa murid itu perlu bekerja tetapi ia tidak menjadi masalah kerana jarak antara sekolah dan rumah tidak jauh. - Bernama