Pemandu mabuk, mat rempit antara 25 individu ditahan di KL

Tujuh samseng jalanan berusia 16 hingga 18 tahun ditahan dalam operasi JSPT di sekitar Kuala Lumpur.
Tujuh samseng jalanan berusia 16 hingga 18 tahun ditahan dalam operasi JSPT di sekitar Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menahan seramai 25 individu dan mengeluarkan 660 saman atas pelbagai kesalahan dalam operasi penguatkuasaan pada hujung minggu di sekitar ibu negara di sini bermula Jumaat.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, sebanyak 38 buah motosikal disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos).

Menurutnya, operasi selama tiga hari itu dijalankan di beberapa laluan utama termasuk di Jalan Pahang, Jalan Kuching, Jalan Raja Laut, Jalan Tun Razak dan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).

JSPT Kuala Lumpur mengeluarkan sebanyak 660 saman atas pelbagai kesalahan dalam operasi selama hujung minggu di ibu negara.
JSPT Kuala Lumpur mengeluarkan sebanyak 660 saman atas pelbagai kesalahan dalam operasi selama hujung minggu di ibu negara.

"Tujuh lelaki berusia 16 hingga 18 tahun ditahan kerana menunggang dalam keadaan berbahaya dan melakukan aksi zig-zag, roket, 'superman' serta bersaing.

"Tangkapan 13 orang lelaki yang berumur dalam lingkungan 28 hingga 38 tahun di bawah Sek 45(A) APJ 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, polis turut menahan seorang lelaki berusia 22 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori kerana menunggang motosikal curi dan dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, dalam operasi sama, seramai empat lelaki berusia dalam lingkungan 19 hingga 22 tahun ditahan di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil (AKK) 1955 dan akan dituduh mengikut Seksyen 108(3)(e) APJ 1987 kerana memalsukan nombor pendaftaran kenderaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Sarifudin menegaskan bahawa pihaknya akan mempertingkatkan operasi di hujung minggu untuk membanteras aktiviti samseng jalanan dan menjaga keselamatan pengguna jalan raya.