MP Kepong gesa polis siasat bantahan kaitkan DAP

Lim Lip Eng
Lim Lip Eng
A
A
A

KEPONG - Ahli Parlimen Kepong menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat penganjur dan peserta himpunan aman yang didakwa akan mengadakan bantahan berhubung pengambilalihan Dewan Kepong Baru, esok.

Lim Lip Eng berkata, pihaknya mendapat maklumat himpunan tersebut akan diadakan selepas solat Jumaat.

“Saya diberitahu ada pihak yang mempunyai agenda ingin membuat satu perhimpunan bantahan terhadap DAP di luar dewan orang ramai beralamat di Jalan Kepong Baru, Kepong.

“Saya minta polis siasat penganjur perhimpunan ini sekiranya mereka ada melanggar undang-undang yang diperuntukkan oleh negara supaya keamanan negara dapat dipelihara,” katanya kakitangan pejabatnya sudah membuat laporan berhubung perkara itu di Balai Polis Kepong, pagi tadi.

Lip Eng berkata, beliau dimaklumkan isu pokok perhimpunan tersebut adalah pihak terbabit enggan menyerahkan semula dewan orang ramai di Jalan Kepong Baru yang duduki melebihi 10 tahun kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Beliau mendakwa pihak tersebut akan memutarbelitkan cerita dengan alasan palsu bahawa DAP yang memberi arahan untuk mendapatkan hak milik dewan terbabit.

“Arahan untuk semua dewan orang ramai di seluruh Kuala Lumpur diserah balik kepada DBKL dibuat selepas PRU14 oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad bukannya arahan DAP.

“Tindakan ambil alih dewan itu juga berikutan ia disalah guna pihak tertentu yang kutip sewa daripada orang awam bagi majlis jamuan, kelas taekwondo, pusat cucian kereta haram serta menjadi tempat penginapan pendatang asing tanpa izin.

“Semua sewa yang dikutip masuk ke poket individu-individu tertentu, bukannya disalurkan kepada DBKL,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat diterima, pada perhimpunan bantahan esok, penganjur akan memainkan isu perkauman dan cuba membuat provokasi supaya masyarakat Malaysia berbilang kaum saling membenci antara satu sama lain.

Menurutnya, perkataan berbaur hasutan juga mungkin akan digunakan oleh pihak-pihak yang berniat jahat untuk menggugat keharmonian negara. “Saya harap orang awam tidak termakan hasutan mereka dan polis ambil tindakan jika peserta membuat provokasi atau bertindak ganas,” katanya.

Artikel Berkaitan: