Bekas pengarah syarikat mengaku tak bersalah

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang bekas pengarah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan rasuah dan tiga pertuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram, tujuh tahun lalu.

Affendy Baharom, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Affendy didakwa atas empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM270,000 semasa memegang jawatan Pengarah Syarikat Maxwell Accent JV Sdn Bhd melalui empat transaksi cek RHB Bank Bhd daripada seorang pengarah syarikat Malim Resources.

Ia adalah sebagai upah membantu Malim Resources mendapatkan kerja-kerja pembinaan jaringan rangkaian saluran paip hidran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) bernilai RM7.2 juta pada 30 April 2011.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di RHB Bank Bhd cawangan Kelana Jaya dan Maybank cawangan TTDI Jaya di sini, secara berperingkat pada Mei, Jun, Ogos dan Oktober 2012.

Jika sabit kesalahan, lelaki itu boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi. Affendy juga menghadapi tiga pertuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram bernilai RM220,000, dengan menerima tiga keping cek RHB Bank Bhd melalui akaun syarikat miliknya AB Multi Tech Services.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Maybank cawangan TTDI Jaya, secara berperingkat pada Mei, Ogos dan Oktober 2012.

Jika sabit kesalahan, Affendy yang didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, boleh dipenjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM5 juta atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Mohammad Suffian Ja'afar yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin selain mencadangkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Muhammed Rafique Rashid Ali yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon mahkamah menetapkan wang jaminan yang rendah atas alasan anak guamnya perlu menanggung lima orang anak selain sentiasa memberi kerjasama kepada SPRM sepanjang siasatan.

Rozilah kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM100,000 bagi semua pertuduhan serta seorang penjamin selain memerintahkan pasportnya diserah kepada mahkamah dan menetapkan 29 April depan untuk sebutan semula kes. - Bernama