RM141 juta perbelanjaan bagi PRN Melaka, Johor

Wan Junaidi
Wan Junaidi
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membelanjakan sejumlah RM141 juta bagi melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, jumlah itu merangkumi perbelanjaan perolehan pembelian dan sewaan peralatan pilihan raya, kenderaan, pembangunan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), logistik, elaun petugas serta keperluan lain yang berkaitan.

Jelas Wan Junaidi, perbelanjaan itu turut mengambil kira peralatan mengikut garis panduan pencegahan Covid-19.

Menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis, didapati kos bagi PRN Melaka dan PRN Johor masing-masing berjumlah RM45 juta dan RM96 juta, berbanding PRU14 pada 2018 apabila SPR membelanjakan RM13 juta di Melaka manakala RM35 juta di Johor.

Sebagai rekod, PRN Melaka yang berlangsung pada 20 November 2021 diadakan apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 4 Oktober susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Susulan PRN tersebut, Barisan Nasional (BN) memperoleh mandat rakyat apabila memenangi 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan.

Sementara itu, PRN Johor berlangsung pada 12 Mac lalu susulan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN untuk memberi laluan kepada PRN.

BN sekali lagi diberi kepercayaan apabila berjaya memperoleh kejayaan majoriti dua pertiga dengan menawan 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Artikel Berkaitan: